Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan MUIS bermatlamat mendapatkan setiap asatizah mengikuti modul utama kumpulan itu mengenai cara menangkis fahaman pelampau.
Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.
Modul itu adalah sebahagian daripada program Pendidikan Profesional Berterusan yang wajib disertai mereka yang berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah.
Dr Yaacob menjelaskan demikian sebagai menjawab pertanyaan dari AP Dr Fatimah Lateef.
Beliau berkata 80 peratus asatizah sekarang termasuk dalam skim itu.
Usaha giat sedang dijalankan bagi menggalakkan baki 20 peratus asatizah yang belum berbuat demikian supaya turut serta.
Menerusi modul itu, RRG berkongsi dengan asatizah tentang pengalamannya membantu bekas para anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah kembali ke pangkal jalan dan ke pangkuan masyarakat.
Menurut Dr Yaacob, MUIS dan RRG akan terus mengemaskini modul itu bagi memastikan ia kekal relevan.
Dr Yaacob menambah, MUIS juga akan terus memperkukuh kurikulum madrasah dengan bahan relevan yang dibangunkan RRG.
Source: http://berita.mediacorp.sg