Vivian Lee, bekas teman wanita blogger Alvin Tan, memberitahu Mahkamah Sesyen semalam (10 Mei) bahawa lelaki itu memuat naik gambar berserta kapsyen yang mempersenda umat Islam hanya untuk berjenaka dan melihat reaksi masyarakat.
Vivian Lee atau Lee May Ling, 27 tahun, berkata Tan memberitahunya sedemikian selepas dia (Tan) menyunting gambar berserta kapsyen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh…fragrant, delicious and appetising (‘Selamat Berbuka Puasa (dengan) Bak Kut Teh, Wangi, Enak dan Menyelerakan’).
Lee berkata Tan kemudian memuat naik gambar berserta kapsyen itu ke laman Facebook miliknya tanpa mendapat kebenaran daripadanya terlebih dahulu walaupun Lee merupakan seorang daripada pentadbir bagi akaun Facebook berkenaan.
Dia berkata pada mulanya, Tan enggan memadam atau menukar kapsyen itu tetapi selepas menerima kecaman dan penghinaan pelbagai kaum dan masyarakat, Tan menulis kapsyen baharu iaitu ‘Ampunkanlah kami’ ‘Selamat berbuka puasa dengan rendang ayam’.
“Kapsyen baharu itu digantikan selepas melihat sentimen negatif daripada masyarakat yang boleh menimbulkan kemarahan. Kapsyen itu diharap dapat memperbetulkan dan menjadikan keadaan lebih baik,” kataya.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya Chong Joo Tian semasa membela diri di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud, Lee berkata dia dan Tan bergaduh berikutan tindakannya memuat naik gambar berkenaan.
Wanita itu berkata Tan turut menolaknya ketika cuba mengambil komputer riba milik Tan.
“Kami bergaduh. Saya rasa sedih, tidak gembira dan marah dengan tindakan Tan. Saya suruh dia padam kesemuanya namun Tan enggan dan memberitahu itu hanya untuk jenaka dan mahu melihat reaksi masyarakat,” katanya.
Menurutnya gambar itu diambil secara ‘selfie’ di sebuah kedai makan di Jalan Ipoh pada 10 Julai 2013.
Lee, saksi tunggal pembelaan, berkata demikian dalam perbicaraan kesnya dan Alvin Tan atau Tan Jye Yee yang didakwa menyiarkan gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh.. fragrant, delicious and appetising)’ dan mengandungi logo halal di laman Facebook mereka.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9.00 pagi, 12 Julai 2013 mengikut Akta Hasutan yang membawa hukuman denda RM5,000 (S$1,690) atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 14 April lepas, Hakim Abdul Rashid memerintah Lee membela diri terhadap pertuduhan itu.
Pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 23 Nov lepas, hanya Lee yang hadir manakala Tan telah melarikan diri ke luar negara.
Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Lee menafikan dia bersama-sama Tan memuat naik gambar itu.
Lee juga tidak bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa dia boleh memuat naik gambar itu kerana dia tidak memiliki akaun facebook, komputer dan telefon bimbit pintar bagi membolehkan gambar itu dimuat naik.
Mahkamah menetapkan esok untuk hujahan kedua-dua pihak selepas pihak pembelaan menutup kesnya semalam (10 Mei).
Source: Berita MediaCorp