Kasih ibu sampai ke syurga. Itulah istilah lazim yang kita selalu dengar bagi wanita yang bergelar ibu.
Walaupun kini ada yang bekerjaya tinggi dan hebat, namun mereka tetap menggalas kewajipan dan tanggung jawab sebagai ibu; menjaga keluarga dan anak-anak tanpa rasa jemu dan mengeluh. Ternyata, wanita yang dipanggil ‘ibu’ ini merupakan pemberian dan anugerah tertinggi Allah untuk kehidupan seorang insan di bumi ini.
Sepanjang tiga hari ini, sejajar dengan sambutan Hari Ibu, BERITAMediacorp menampilkan 3 srikandi hebat dan juga wanita yang bergelar ibu, yang mempunyai nilai-nilai murni yang tiada tolok bandingnya! Mereka tidak pernah mengenal erti penat dan jerih, malah terus berjuang bukan untuk diri sendiri, tetapi demi keluarga, serta nusa dan bangsa.
Ibu pertama yang kami tampilkan kali ini ialah Cik Eliyah Osman, 44 tahun, yang menjadi ibu tunggal ketika anak bongsunya hanya berusia 6 bulan.
Cik Eliyah Osman – 44 tahun
Perpisahan di dalam sebuah mahligai yang dibina atas dasar cinta, memang menyakitkan dan amat menyedihkan. Menyedari akan hakikat yang sudah tertulis, Cik Eliyah Osman redha atas setiap dugaan dan ujian yang dilaluinya.
Dia sendiri tidak pernah tahu akan kekuatan yang dimilikinya, namun setiap cabaran yang mendatang diharungi dengan penuh kesabaran dan yakin bahawa apa juga yang terjadi adalah atas ketentuan Illahi dan pasti terselit hikmah yang tersendiri.
Cik Eliyah sudah menjadi ibu tunggal sekitar 8 tahun yang lalu dan ketika anak bongsunya dalam belaian usia baru 6 bulan saja. Sejak itu, kehidupannya terus berubah dan segala perasaan hiba dan sedih terus diketepikan.
Sebagai pencari nafkah selepas penceraian, menjaga, membesarkan dan mendidik kedua anak-anaknya adalah agenda utama Cik Eliyah. Dia tidak mahu anak-anak terpinggir dari kasih sayang dan mahukan hanya yang terbaik untuk anak-anaknya dan segala wang dan waktu hanyalah untuk mereka.
Beliau juga prihatin terhadap pelajaran anak-anaknya, dan tidak pernah terlepas peluang untuk berjumpa guru-guru dan kaunselor di sekolah bagi menanyakan perkembangan dan kemajuan akademik mereka.
BERDIKARI BAGI MULAKAN KEHIDUPAN BARU
Cik Eliyah juga akur bahawa salah satu cabaran yang paling besar setelah berpisah adalah isu perumahan dan mencari tempat berteduh bagi mereka bertiga. Beliau juga kerugian sekitar S$100,000 wang simpanan CPFnya, dek pasaran hartanah yang lembab dan suram ketika menjual rumah eksekutif maisonet dan ini membuat simpanan beliau hampir kekontangan!
Namun kehidupan harus diteruskan dan Cik Eliyah terus berusaha dan bekerja dan kini menetap di rumah ibu bapanya sementara menunggu flat BTOnya di Yishun yang bakal siap pada hujung tahun ini.
Namun begitu, Cik Eliyah tetap bersyukur kerana mempunyai pekerjaan tetap, walaupun jarak ke pejabat dari rumah orang tuanya memakan masa hampir dua jam. Setiap hari beliau bangun awal-awal lagi untuk melengkapkan persiapan anak-anak ke sekolah sebelum ke pejabat di Tuas, dan akan pulang ke rumah di Changi Village yang terletak di bahagian timur Singapura pada jam 9.00 malam, dengan menggunakan pengangkutan awam.
“Sejak berpisah pada tahun 2008, kehidupan saya terus berubah. Namun saya terus memandang ke hadapan dan anak-anak menjadi pembakar semangat dan demi ingin melihat mereka berjaya, saya tanam azam untuk memberikan mereka yang terbaik, walaupun kami kekurangan seorang ‘father figure’ dan diuji sebegini.
“Ujian demi ujian yang saya hadapi tidak sedikit pun melemahkan semangat saya untuk terus berusaha agar kami bertiga dapat menikmati kehidupan sesempurna mungkin. Bantuan, sokongan, serta penerimaan pihak majikan, ibu bapa dan teman-teman rapat amat saya hargai.
“Walaupun saya seorang yang berdikari, dan tidak mahu meratapi kisah lalu, namun pertolongan yang saya terima selama ini, sedikit sebanyak membuat saya terus bangkit dan meneruskan kehidupan seperti ibu-ibu yang lain,” ujar Cik Eliyah, 44 tahun, dan ibu tercinta kepada Asyura Abdullah, 16 tahun dan Aesya Abdul Rahman, 8 tahun.
(Gambar-gambar: Eliyah Osman)
STIGMA MASYARAKAT
Walaupun perlu memikul tanggungjawab yang berat, beliau masih dan gemar bersenam dan pernah mengikuti dan mengambil bahagian dalam sukan lasak, seperti acara triathlon, maraton dan berbasikal jarak jauh.
“Menjadi ibu tunggal, memang banyak cabaran, dan tidak mudah, tetapi kita harus kekal positif dan jangan putus asa. Mereka perlu keluarkan diri daripada kepompong kehidupan dan melakukan aktiviti sihat seperti bersenam. Saya juga mengikuti sukan lasak, walaupun tidak sekerap dulu, namun saya tetap yakin aktiviti seperti bersenam dapat merehatkan minda agar tidak terlalu kusut memikirkan masalah yang tiada penghujungnya.
“Saya akui, pasti ramai ibu tunggal pernah dilabel ‘Mak Janda’ oleh masyarakat setempat dan menganggap kami sebagai wanita yang tidak berperwatakan baik dan cuba mendekati kami dengan niat yang tidak murni.
“Saya rasa, stigma ibu tunggal masih ada dan saya berharap masyarakat tidak memandang serong pada ibu-ibu ini, kerana kami bekerja, seperti orang lain juga, demi anak-anak dan keluarga dan tidak meminta-minta ataupun diberikan layanan istimewa. Walaupun kehidupan kami tanpa suami, tapi kami juga boleh berdikari dan menjadi pendorong utama untuk anak-anak terus berjaya di hari muka,” jelas Cik Eliyah lagi.
Source: http://berita.mediacorp.sg