Polis Malaysia Diminta Ambil Tindakan Terhadap Individu Cemar Quran Di Internet

Polis diminta mengambil tindakan terhadap individu yang mencemar al-Quran dengan tindakan melampau, termasuk menjilat, mengoyak dan menjadikan kitab suci umat Islam itu sebagai bahan seks.

Individu itu berbuat demikian dalam video yang kini sudah dimuat naik ke lelaman sosial YouTube dan Facebook.

Empat badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) serta Akhlak Rahsia Cekal (ARC) membuat laporan polis semalam (1 Jun).

Mereka juga mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyekat video berkenaan di Internet supaya tidak terus diviralkan, menurut Presiden IRIMM Amir Amsaa Alla Pitchay kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Beliau berkata tindakan individu berkenaan adalah biadap dan penghinaan melampau kepada seluruh umat Islam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.

VIDEO MUNGKIN OLEH AMOS YEE

Menurut Bernama, video selama 47 saat itu memaparkan seorang individu berbaju jingga menjilat dan mengoyakkan al-Quran sebelum menjadikan kitab suci itu sebagai bahan seks.

Bernama tidak menyebut identiti individu berkenaan, namun ia berkemungkinan video yang dimuat naik oleh penulis blog kontroversi Singapura, Amos Yee, 17 tahun.

Dalam video berkenaan, Amos Yee kelihatan melakukan aksi-aksi yang disebutkan dalam laporan polis badan-badan Malaysia itu.

Yee dipenjara tahun lalu kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap agama Kristian dan memuat naik imej-imej lucah online.

Pada 26 Mei lalu, Yee dikenakan lapan dakwaan baru di Mahkamah Negara di Singapura – lima daripadanya adalah kerana mengguris perasaan umat Islam dan satu lagi kerana menyakitkan hati penganut Kristian.

Jika didapti bersalah kerana sengaja menyakitkan hati penganut agama lain, Yee boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan didenda.

Yee ditangkap pada 11 Mei dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$5,000.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *