Para pegawai China dikatakan melarang kakitangan awam, para pelajar dan kanak-kanak di wilayah Xinjiang yang ramai penganut Islam daripada berpuasa semasa bulan Ramadan.
Demikian menurut lelaman web pemerintah sempena permulaan Ramadan di sana hari ini (6 Jun).
Parti Komunis yang juga parti memerintah negara itu sudah bertahun-tahun melarang kakitangan pemerintah dan anak-anak kecil daripada berpuasa di Xinjiang, tempat tinggal kepada lebih 10 juta penduduk yang kebanyakannya adalah muslim.
Mereka merupakan kaum minoriti Islam daripada kaum Uighur.
Ia juga memerintahkan beberapa restoran untuk kekal dibuka.
Pertempuran sering berlaku di wilayah tersebut, antara puak Uighur dengan pasukan keselamatan negara itu.
Beijing sering menyalahkan pihak militan Uighur di atas kejadian-kejadian serangan di Xinjiang dan di wilayah-wilayah lain di China.
Pihak pemberontak muslim dikatakan mahu wilayah yang kaya dengan sumber itu berpecah dari pemerintah pusat.
“Anggota parti, anggota kader, kakitangan awam, para pelajar dan anak-anak kecil tidak boleh berpuasa semasa Ramadan dan tidak terlibat dalam aktiviti agama,” demikian menurut sebuah notis yang dimuatnaikkan Khamis lalu (2 Jun) di laman web rasmi kota Korla di tengah Xinjiang.
“Semasa bulan Ramadan, perniagaan makanan dan minuman tidak boleh ditutup,” tambah notis tersebut.
Satu laman web yang dikendalikan biro pendidikan kawasan Shuimogou di wilayah Urumqi memuatnaik satu notis Isnin lalu (30 Mei) yang menyatakan “para pelajar dan guru dari semua sekolah dilarang memasuki masjid bagi aktiviti keagamaan” semasa Ramadan.
Di bandar Altay yang terletak di utara China, para pegawai juga setuju untuk “lebih berhubungan dengan para ibu bapa” demi melarang berpuasa semasa bulan Ramadan, menurut satu laman web Agama Etnik China.
China sering mengawal ketat kumpulan-kumpulan agama, tetapi sering juga mendakwa ia memberi para penduduknya kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Source: Berita MediaCorp