Pemuda Indonesia Pijak Quran, Harus Dihukum Berat

INDONESIA: Seorang lelaki berusia 20 tahun, Kapry Nanda, disoal siasat Polis Pasaman Barat, Sumatera Barat berhubung gambar beliau memijak Al-Quran, yang dimuat naik ke laman Facebook.

Dalam pada itu, angota Dewan Perwakilan Rakyat (DPRD) Kota Padang, Muharlion, mendesak polis mengenakan hukuman berat terhadap Kapry.

“Pemuda itu harus dihukum berat serta dikenakan hukuman adat wilayah Minang,” kata Encik Muharlion kepada agensi berita Antara pada Selasa lalu (14 Jun).

Beliau menegaskan, hukuman berat itu diperlukan kerana ia merupakan perkara serius bagi umat Islam, iaitu menghina kitab suci orang Islam.

Encik Muharlion berkata individu seperti Kapry tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan harus dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana memandang rendah kepada Al-Quran.

Sebelum itu, polis Pasaman Barat menyiasat Kapry dan seorang rakannya, yang memuat naik gambar beliau memijak Al-Quran ke laman Facebook milik Andri, 21 tahun.

Gambar Kapry memijak Al-Quran yang diletakkan di atas sejadah di ruang yang kelihatan seperti surau atau masjid, dimuat naik dengan kapsyen “Jangan tiru adegan ini, bro.”

ADAKAN PERTEMUAN BINCANG TINDAKAN SETERUSNYA

Pada pagi Rabu lalu, satu pertemuan di pejabat ketua kampung Sungai Air antara Kapry, polis dan ketua-ketua masyarakat turut diadakan untuk membincangkan tindakan seterusnya lebih-lebih perbuatan Kapry dijangka mencetuskan kemarahan ramai.

“Benar kami melakukan pertemuan dengan pelaku untuk mendengarkan keterangannya,” kata ketua kampung, Erwin Lubis.

Beliau berkata Kapry selama ini dikenali di kampung tidak pernah melakukan sebarang masalah. Namun, beliau berubah kerana terpengaruh dengan rakan-rakan.

Selepas pertemuan di pejabat ketua kampung, Kapry dibawa ke polis untuk disiasat lebih lanjut.

Belum ada maklumat lanjut sama ada Kapry ditahan oleh polis.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *