Restoran 1 Market by Chef Wan di Plaza Singapura, akan ditutup penghujung bulan ini (Jun) setelah beroperasi sekitar tiga tahun setengah.
Ketika dihubungi oleh BERITAMediacorp menerusi panggilan jarak jauh ke Kuala Lumpur, Datuk Chef Wan atau lebih senang disapa sebagai Chef Wan berkata: “Kontrak kita selama tiga tahun dah sampai, mereka naikkan sewa jadi tentulah akan bertambah kos kita kan. Itu yang kita kena fikirkan.”
Selain dari peningkatan sewa restoran popular tersebut, Chef Wan, 59 tahun, yang menjadi ‘wajah’ restoran tersebut, tidak menafikan bahawa ada juga beberapa faktor yang membuatnya tidak terfikir untuk menyambung kontrak kerjasama bersama rakan kongsi restoran tersebut yang beliau namakan sebagai Food Junction. Cef Wan tidak memiliki restoran tersebut, namun memberikan namanya digunakan dan memberikan khidmat konsultan kepada restoran tersebut.
CEF WAN MARAH, KUALITI KUCAR KACIR
Cef yang sememangnya petah bercakap itu berkata: “You boleh lihat kualiti pengurusan kucar-kacir, makanan dan resipi pun tak buat apa yang kita dah tunjuk. Cef pun ikut suka-hati mereka. Bila I dengar tu, I marahlah.
“I pun tak dijemput lagi untuk develop resipi hampir 10 bulan. Masalah pengurusan memang I dapat lihat jelas dan terbawa-bawa hingga ke kualiti makanan. Bila kita dah habis 3 tahun kontrak ni kita bincang baliklah. Sudah tentunya I tak puas hati kan?”.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bukan mudah untuk mendapatkan tukang masak di Singapura yang mahir untuk restoran itu, yang dibuka pada November 2012.
Berita mengenai penutupan restoran itu dihebahkan Cef Wan menerusi Instagram rasminya ChefWan58 petang tadi.
ISU PEMBAZIRAN MAKANAN
Menurut Cef selebriti itu, pembaziran makanan turut berlaku di restoran 1 Market by Chef Wan memandangkan makan tengah hari dan makan malam dihidang secara buffet.
Dengan pembaziran itu, ia turut menambahkan lagi kos operasi restoran tersebut kongsi Cef yang peramah itu.
Beliau sedar bahawa restoran tersebut adalah besar dan ini juga menambah lagi kos operasi.
Cef Wan memberitahu BERITAMediacorp, beliau tentunya berasa sedih dengan penutupan restoran yang terletak di Plaza Singapura itu memandangkan ia berjaya menjana pendapatan sebanyak S$1 juta setiap bulan ia dikendalikan.
Lagipun, ia juga adalah peluang untuk beliau menemui dan beramah-mesra dengan peminat-peminatnya yang menetap di Singapura.
“Benda ni sayang sebab kami bekerja keras. Banyak promosi. Saya jenis ‘tough person’ yang selalu percaya hujan atau panas, apa pun yang terjadi kita kena teruskan kehidupan. Bukan sesuatu yang you bimbang atau nak terjun diri dari bangunan,” katanya dengan nada gurau dalam mengungkap isu tersebut.
Meskipun restoran itu akan ditutup pada penghujung Jun nanti, beliau akui sudah pun ada beberapa pelabur yang melahirkan minat untuk membuka restoran lain pula di sini mahupun di Kuala Lumpur.
Buat masa sekarang ini, beliau tidak dapat mendedahkan butiran lanjut.
Cuma satu sahaja yang beliau inginkan jika berpeluang membuka sebuah lagi restoran di Spura nanti: “Kali ini ia adalah sebuah restoran Melayu ala Malaysia macam Azizah (Azizah Restaurant) buat dulu.”
Source: BERITAMediacorp