Hotel Jen di Tanglin membuka pintunya kepada para usahawan baru tempatan untuk menjual produk-produk mereka.
Tujuannya untuk menggalak inovasi dan kreativiti serta menyediakan wadah untuk para usahawan berbakat mempamerkan jenama mereka bagi pelanggan antarabangsa.
15 usahawan baru tempatan berpeluang mempamerkan produk-produk mereka di hotel empat bintang, Hotel Jen Tanglin dalam acara ‘A Superlife Affair’.
Acara dua hari itu merupakan sebahagian daripada kempen #NextJen oleh Hotel Jen yang bermatlamat untuk mendedahkan jenama-jenama tempatan di peringkat antarabangsa.
Arfian Ishak, 29 tahun, pengasas syarikat yang memanggang dan membekal biji kopi ‘Nomad The Gallant’ adalah satu-satunya usahawan muda Melayu yang dipamerkan.
“Sekarang ekonomi tidak berapa baik, ini adalah cara untuk kekalkan atau tambahkan lagi pendapatan dalam perniagaan. Saya mahu mencabar diri sendiri untuk melihat sejauh mana dan tahap saya boleh capai,” kata beliau.
Arfian yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam industri kopi, memanggang sendiri biji kopi dari Brazil dan India lalu mencampurkannya.
Campuran jenis kopi tersebut yang diberi nama “Exodus” kemudian dibekalkan kepada 18 tempat di Singapura termasuk kafe Jen’s the Kitchen On-The Go di Hotel Jen Tanglin.
Akur terdapat persaingan sengit di kalangan peniaga baru, Arfian berpegang kepada prinsip tidak mudah menyerah.
“Tidak takut untuk menghadapi orang yang lagi berjaya. Kadang-kadang mereka adalah orang yang boleh memberi nasihat. Jadi banyak bergaul, tidak boleh malu dan segan bak kekata, “malu bertanya sesat jalan”,” tambah beliau lagi.
Arfian bakal membuka dua cawangan kafe di The Arcade dan Stanley Road menjelang akhir bulan ini.
Acara ‘A Superlife Affair’ di Hotel Jen Tanglin berakhir esok (2 Julai).
Source: Berita MediaCorp