Mufti Perak: Syirik Cium, Junjung Barang Peninggalan Nabi Dengan Melampau

KUALA LUMPUR: Perbuatan bertabarruk iaitu seperti mencium atau menjunjung barang-barang peninggalan Nabi Muhammad dengan gaya melampau, boleh membawa kepada syirik.

Demikian menurut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kepada akhbar Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas program ‘Lantunan Mahabbah Rasulullah’ yang diadakan di Kedah pada Jumaat lalu (24 Jun), yang didakwa memberi peluang kepada orang ramai mencium, memegang dan menjunjung athar atau peninggalan Rasulullah S.A.W.

Bahkan kata Mufti Perak, belum tentu barang-barang yang dipamerkan itu adalah sahih dan benar-benar merupakan barang peninggalan Rasulullah.

Malah menurutnya lagi kepada Utusan Malaysia, Rasulullah tidak pernah menganjurkan umatnya melakukan perbuatan sedemikian untuk mengambil keberkatan daripada barang-barang peninggalan tersebut.

“Umat Islam tidak usah bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah. Kalau ada pameran pun, pergi tengok sahaja, tidak perlu buat macam itu sekali kerana boleh membawa kepada syirik.

“Lagipun kita tidak tahu sama ada sahih atau tidak barang-barang peninggalan Rasulullah itu. Jadi tidak perlu berbuat begitu, banyak lagi amalan dan sunnah Rasulullah yang boleh diikuti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ada satu hadith dalam sahih bukhari kitab al-Haj Umar al- khattab mengatakan حدثنا محمد بن كثير أخبرنا سفيان عن الأعمش عن إبراهيم عن عابس بن ربيعة عن عمر رضي الله عنه أنه جاء إلى الحجر الأسود فقبله فقال إني أعلم أنك حجر لا تضر ولا تنفع ولولا أني رأيت النبي صلى الله عليه وسلم يقبلك ما قبلتك Aku mengetahui engkau adalah batu ( hajar aswad) tidak memudaratkan dan tidak memberi manfaat. Kalau lah aku tidak melihat nabi mencium engkau maka aku tidak akan mencium engkau ( hajar aswad ). Inilah maksud Tauhid yg sebenar yg ramai umat islam tidak paham. Moga kita dijauhkan dari fitnah mereka.

Posted by Abdun Mujtahid on Monday, 27 June 2016

 

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamed Al-Bakri, ditukil akhbar itu sebagai berkata, pameran sedemikian sepatutnya dielakkan daripada diadakan, jika barang yang dikatakan adalah peninggalan Nabi Muhammad itu tidak boleh disahkan oleh mana-mana sejarawan dan ulama yang boleh dipercayai.

Pameran ‘Lantunan Mahabbah Rasulullah’ itu dilaporkan dihadiri lebih 300 orang dan didakwa memberi mereka peluang mendekati barangan peninggalan Rasulullah seperti rambut, kesan tapak kaki dan pedang Baginda.

“Kita sewajarnya memahami sebarang perkara dalam berhukumkan nas-nas yang sahih, bukan semata-mata berdasarkan perasaan atau tanpa asas yang kukuh sehingga akhirnya melahirkan perasaan lebih kepada mengikut emosi semata-mata,” kata Dr Zulkifli kepada Utusan Malaysia.

(Gambar: Twitter/ElQowiyy)

MUFTI KEDAH NAFFI ADA KAITAN DENGAN PROGRAM

Jabatan Mufti Negeri Kedah pula menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan program tersebut, dan menyatakan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk persetujuan atau sokongan dalam penganjurannya, menurut Astro Awani.

“Sebagai umat Islam, kita tidak digalakkan bertabarruk secara berlebih-lebihan seperti mencium, menjunjung replika athar Rasulullah S.A.W. dengan gaya melampau, ia dibimbangi dan dikhuatiri boleh membawa kepada khurafat atau syirik. Cukup sekadar mengambil berkat dengan berdoa serta salawat kepada Rasulullah,” menurut kenyataan itu.

Gambar-gambar dan video para hadirin mengucup apa yang didakwa adalah pedang dan tapak kaki Nabi Muhammad di majlis itu mengundang rasa kurang senang di lelaman media sosial, menurut Utusan Malaysia.

Program Lantunan Mahabbah Rasulullah adalah anjuran bersama MBAS, Yayasan Restu, Ibn Sina Institutes dan Majlis Mahabbah Rasul Malaysia.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *