Malaysia Digesa Haramkan Pelawak Singapura; Fakkah Fuzz Minta Maaf

Kerajaan Malaysia digesa menyenaraihitamkan dan menyekat pelawak Singapura, Fakkah Fuzz daripada memasuki Malaysia.

Gesaan itu dibuat oleh anggota Jawatankuasa Eksekutif Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin, menurut laporan akhbar Sinar Harian hari ini (3 Julai).

Fakkah dikatakan “mempersendakan” dan menjadikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai bahan sindiran dalam jenakanya di persembahan ‘stand up comedy’ beliau baru-baru ini.

Sebuah video yang memaparkan aksi Fakkah menyebut nama PM Najib ketika berjenaka tentang perbezaan penggunaan bahasa Melayu antara warga Singapura dan rakyat Malaysia tersebar luas di lelaman media sosial.

Fakkah sudahpun meminta maaf atas perbuatannya itu dan berkata beliau tidak berniat untuk menyakiti perasaan rakyat Malaysia, dalam catatan di laman Facebooknya semalam.

Encik Nazir dalam kenyataan media seperti ditukil Sinar Harian menyifatkan tindakan pelawak itu sebagai biadab dan “seolah-olah memperlekeh rakyat Malaysia sendiri.”

“Tindakan itu (sekatan) perlu dilakukan agar tidak ada pihak luar yang secara biadab mempersendakan pimpinan negara kita dengan menjadikan Perdana Menteri sebagai bahan lawak,” katanya.

Encik Nazir juga ditukil Sinar Harian sebagai berkata, Pemerintah Singapura perlu mengambil tindakan terhadap Fakkah kerana tidak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.

Beliau turut menjemput Fakkah berjumpa beliau secara peribadi.

Dengan nada sinis, Encik Nazir berkata beliau mahu bertemu dengan pelawak itu “untuk mengajar beliau kehidupan bersopan santun rakyat di negara ini, kerana saya yakin ada bahagian pada otaknya yang masih belum bercantum.”

“Jangan kerana kelakuan pelawak yang tidak cukup masak ini, rakyat Malaysia tidak lagi menghormati rakyat Singapura,” tambah beliau dalam kenyataannya.

Encik Nazir mendakwa ia bukan kejadian pertama sedemikian yang melibatkan seorang rakyat Singapura – katanya, seorang penggubah lagu Singapura pernah mengakui tidak mengenali Perdana Menteri Malaysia “sedangkan dia turut mencari makan di negara ini.”

Beliau juga ditukil Sinar Harian sebagai berkata, hak kebebasan bersuara di Singapura sendiri kerap menjadi kritikan antarabangsa.

Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan Fakkah Fuzz daripada memasuki Malaysia, lapor laman Malaysiakini.

Ketuanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, tindakan pelawak tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan kedua-dua negara mempunyai hubungan rapat.

“Sebagai pelawak, tentunya ada pelbagai cara dan idea lain untuk membuatkan orang tertawa. Tapi menjadikan pemimpin negara jiran sebagai bahan sindiran, itu adalah tindakan tidak bijak dan matang.

“Negara kita tak sedikit pun rugi sekiranya orang sebegini tidak berada di Malaysia,” kata beliau seperti ditukil Malaysiakini.

FAKKAH FUZZ MINTA MAAF

Sementara itu, Fakkah Fuzz semalam (2 Julai) meminta maaf atas perbuatannya itu dan berkata beliau tidak berniat untuk menyakiti perasaan atau mencetuskan sebarang pertelingkahan.

Beliau juga berkata kedua-dua video beliau menyebut PM Najib dalam jenakanya itu sudahpun diturunkan dari laman media sosial oleh beliau sendiri.

“Saya ingin secara ikhlas memohon maaf jika saya secara tidak sengaja menyakitkan perasaan saudara-saudara saya di seberang Tambak.

“Ia bukan niat saya untuk menyakiti atau mencetuskan pertelingkahan di kalangan sesiapa. Saya juga bukan menuduh sesiapa apa-apa. Ia hanya jenaka berdasarkan ehwal semasa,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

Follow up to “Difference between Singaporan Malays and Malaysian Malays” Yes both my videos were taken down by me. But by that time, it was already shared on many social media platforms in Malaysia. And being a newbie to this whole online attention thing, I let the comments get the best of me. I admit that. As much as many if you loved/liked/shared the video, there were a few that were very defensive towards my statements. I would like to sincerely apologize if I unintentionally hurt my brothers and sisters across the causeway. It was not my intention to hurt or cause unrest among anyone. Nor was I accusing anyone of anything. It was simply a joke based on current events. The joke is basically “we say this, you say this”. Im just saying what I hear. Not saying “This person is guilty of this!” Not at all. Please don’t take what I said out of context as I’m not out to slander anyone. That is very very far from my intention. I just want all of us to laugh. Thats all. Like the likes of my idols, Chris Rock, George Carlin, Jim Jefferies. That just talk about current events as jokes. I understand that it might be a new concept to some. So here I am, introducing it. Having said that, everyone needs to open their minds, be a little less sensitive and learn to take a joke once in a while. I promise u life will be much better if you do. I’d just like to make it clear that political satire is not to be taken seriously as opinions. They are just jokes people. So I hope u guys can find it in ur heart to chill abit and just enjoy the next time I post something up. If you love it, great. Dont like it, just click away. No one is forcing you to watch anything. This is the internet. When I posted the video, I didn’t expect there to be such an overwhelming response. I have all of you to thank for that. As much as I recieved much praise, I also got a lorry load of criticism. I am grateful for both. I wont repost the video here cuz I can’t be bothered to engage, or watch anyone engage in political debates on my page. Its not in my interest. Im just here to entertain. I wish you all Selamat Hari Raya in advance! Peace and love to all nations!

Posted by Fakkah Fuzz on Friday, 1 July 2016

 

Fakkah menambah, beliau hanya mengatakan apa yang beliau dengar, bukan menuduh sesiapa membuat kesalahan.

“Jenakanya ialah ‘kami katakan ini, anda katakan ini.’ Saya hanya katakan apa yang saya dengar. Bukan berkata ‘Orang ini bersalah membuat perkara ini!’ Sama sekali tidak.

“Tolonglah jangan ambil apa yang saya katakan di luar konteksnya kerana saya bukan hendak memburuk-burukkan nama sesiapa. Ia benar-benar jauh daripada niat saya.

“Saya hanya mahu kita semua ketawa. Itu sahaja. Seperti idola-idola saya Chris Rock, George Carlin, Jim Jefferies. Mereka bercakap tentang ehwal semasa sebagai bahan lawak. Saya faham ini mungkin konsep baru untuk sesetengah daripada anda. Jadi di sini, saya memperkenalkannya,” tulis Fakkah di Facebook.

Bagaimanapun, pelawak Singapura itu menggesa orang ramai supaya membuka minda dan bersikap kurang sensitif serta belajar untuk menerima jenaka dan gurau senda.

“Saya berjanji, kehidupan anda akan menjadi lebih baik jika anda boleh berbuat begitu. Saya hanya mahu jelaskan di sini bahawa satira politik tidak seharusnya diambil secara serius sebagai pandangan. Ia hanya jenaka saja.

“Jadi saya berharap anda semua bertenang dan menikmatinya setiap kali saya memuat naik sesuatu. Jika anda suka dengannya, bagus. Jika anda tidak suka, biarkan sahaja. Tidak ada sesiapa yang memaksa anda menontonnya. Ini Internet,” kata Fakkah.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *