Ibu Allayarham Daniel, Teman Lelakinya, Dihukum Penjara Antara 10 Hingga 11 Tahun

Pasangan yang menyeksa seorang budak lelaki berusia dua tahun hingga mati, dijatuhi hukuman penjara hari ini (5 Julai).

Ibu mangsa, Zaidah, 41 tahun, dihukum penjara 11 tahun. Teman lelakinya, Zaini Jamari, 46 tahun, dihukum penjara 10 tahun dan 12 sebatan rotan.

Pasangan itu, yang mempunyai bayi berusia 1 tahun, mengaku bersalah bulan lalu masing-masing atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan teruk (grievous hurt) hingga menyebabkan kematian dan tiga tuduhan penderaan kanak-kanak.

Lagi 26 dan 18 dakwaan penderaan kanak-kanak masing-masing dipertimbangkan terhadap pasangan itu ketika hukuman dijatuhkan.

Sepanjang lima minggu sebelum mangsa akhirnya maut, Mohamed Daniel Mohamad Nasser, 2 tahun, didera ibunya sendiri dan teman lelaki wanita itu.

Pasangan itu, kedua-duamya pekerja pembersihan, menendang, menampar dan memijak Daniel setiap hari dan memaksa budak itu berdiri dengan kedua-dua tangan diletakkan di atas kepalanya selama berjam-jam lamanya, dengan hanya berpakaian lampin. Mereka juga memaksa budak itu makan cili kering.

Penderaan Daniel terbongkar juga apabila kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada 23 November 2015, setelah menderita didera selama berjam-jam sehari sebelumnya.

Timbalan Pendakwa Raya Claire Poh menyifatkan penderaan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak dua tahun yang “tidak boleh mempertahankan diri dan tidak mampu bersuara tentang penderaan itu” sebagai “kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

HARI TERAKHIR DANIEL

Sekitar 10.00 pagi, apabila budak itu enggan makan sarapan, ibunya, Zaidah menamparnya. Dia memberikan mangkuk sarapan itu kepada Zaini, teman lelakinya, yang cuba memberi budak itu makan.

Apabila mangsa tetap enggan makan, kedua-dua Zaidah dan Zaini menamparnya beberapa kali dan wanita itu juga memukul bahagian belakang tubuh budak itu, hingga mangsa terjatuh ke lantai. Apabila Daniel tidak bangun dari lantai, Zaidah memijak dada anaknya itu sebelum menarik lengannya.

Budak itu makan dua atau tiga sudu makanan, namun enggan makan lebih banyak daripada itu. Dia kemudian disuruh berdiri di satu sudut.

Sekitar 7.00 malam pada hari itu, kanak-kanak itu sandar pada katil kerana letih setelah berdiri sepanjang hari. Apabila pasangan itu melihat keadaan budak itu, mereka menampar Daniel, yang baring di atas lantai dan menutup matanya.

Zaini membawa budak itu ke dapur dan memaksanya makan dua sudu cili kering, sebelum memaksanya terus berdiri di ruang tamu.

Pada sekitar 8.45 malam kemudian, Daniel menjadi lemah dan tidak mampu terus berdiri. Ibunya mencubit tubuhnya dan pipinya dan menamparnya beberapa kali.

Mahkamah diberitahu Zaidah menyangka budak itu berpura-pura lemah dan mengadu kepada teman lelakinya.

Zaini menampar budak itu, memijak perutnya hingga Daniel terjatuh ke lantai dan terhentak kepalanya. Zaini kemudian memaksa budak itu makan cili buat kali kedua hari itu.

Keesokan harinya, pasangan itu tidak mampu mengejutkan budak itu, dan dua rakan mereka yang tinggal bersama mereka menelefon ambulans. Daniel disahkan meninggal dunia pada 9.11 pagi.

Apabila ditanya para paramedik dan polis mengapa tubuh mangsa berlebam-lebam, pasangan itu berbohong dan berkata budak itu biasa mencubit dirinya sendiri, dan jatuh tersungkur di tandas.

Pendakwa raya mengambil masa beberapa minit untuk membacakan di mahkamah senarai lebih 40 kecederaan yang didapati pada tubuh mangsa semasa bedah siasat. Mangsa juga didapati mengalami keretakan tulang rusuk dan pendarahan dalam otak.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk hingga menyebabkan kematian, pasangan itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda atau disebat.

Atas kesalahan penderaan kanak-kanak, mereka boleh dipenjara sehingga empat tahun dan/atau didenda sehingga S$4,000 bagi setiap tuduhan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *