HAINFELD, AUSTRIA: Pakaian renang untuk wanita Muslimah atau ‘burkini’ kini diharamkan di sebuah kolam renang awam di bandar Hainfeld, Austria.
‘Burkini’ dilarang untuk memastikan kolam renang tersebut mematuhi peraturan kebersihan, kata anggota parti berhaluan kanan, Freedom Party (FP) yang juga ahli majlis perbandaran, Peter Terzer.
Katanya seperti ditukil Russia Today (RT) dan NÖN.at: “Kami amat puas hati dengan peraturan baru ini. Dengan ini, kami boleh memastikan, tidak ada seorang pun yang memakai burkini boleh masuk ke dalam kolam renang itu.”
Larangan kontroversi tersebut juga mendapat sokongan dari datuk bandar Hainfeld, Albert Pitterle, lapor RT.
Beliau berkata keputusan itu tidak sepatutnya dianggap luar biasa kerana menurutnya, ia sejajar dengan peraturan kolam renang yang wujud sejak berdekad-dekad lamanya.
Menurut RT, bulan lalu, sebuah lagi kolam renang awam di bandar Neutraubling di Jerman turut mengharamkan wanita daripada memakai burkini.
Ini setelah seorang pengunjung wanita membuat aduan tentang seorang wanita yang memakai burkini di kolam renang tersebut.
Datuk bandar Neutraubling, Heinz Kiechle, dilaporkan tidak senang hati dengan pemakaian burkini, yang katanya “bertentangan dengan usaha perpaduan dan mengiktiraf antara satu sama lain yang kerap dibincangkan di banyak bandar.”
Selain itu, lapor RT, anggota parti FP di Austria, Encik Terzer, juga menggesa agar keselamatan lebih ketat dilaksanakan di kolam renang itu.
Beliau merujuk kepada laporan-laporan yang mendakwa beberapa wanita didakwa diserang secara seksual oleh pendatang asing di kolam-kolam renang di Austria, yang menyebabkan beberapa kemudahan riadah mengharamkan semua pelarian lelaki.
Dalam kes terbaru, pihak berkuasa bandar Mistelbach di Austria mengharamkan secara sementara semua pelarian daripada sebuah kolam renang awam.
Ini setelah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun diganggu secara seksual oleh seorang lelaki muda “berkulit gelap”, yang dipercayai seorang pencari suaka.
Bahkan menurut RT, pihak berkuasa tempatan memasang papan tanda tertera “hari ini semua pelarian tidak dibenarkan masuk” menyusuli insiden itu.
Source: http://berita.mediacorp.sg