Hari Raya tahun ini adalah yang terakhir di Dakota Crescent bagi para penduduk Islam di kawasan itu.
Flat-flat yang dibina pada 1958 itu bakal dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan semula.
Meskipun akur dengan keputusan tersebut, sebahagian penduduk berasa keberatan untuk berpindah kerana mempunyai kemudahan serta jiran-jiran yang baik.
Bagi seorang penduduk, Cik Rohani Mahmood, keriangan Syawal tahun ini bercampur-baur dengan rasa sedih.
Setelah 14 tahun mendiami flat 2 bilik di Blok 6 Dakota Crescent, beliau terpaksa berpindah pada Disember nanti.
Sambutan Hari Raya di Dakota Crescent mungkin tidak semeriah di rumah lamanya di Pasir Ris dan Yishun kerana kebanyakan penduduk di sini merupakan warga senja. Namun lebih utama bagi Cik Rohani adalah kemudahan pengangkutan yang baik di kawasan itu.
“Baru-baru kakak pindah di sini agak susah sikit sebab MRT belum siap, masih kotor, nyamuk banyak. Kami buka almari, nyamuk terbang-terbang, banyak air di longkang-longkang.
“Tetapi selepas dua tahun kakak tinggal di sini, MRT pun dah siap, Alhamdulillah, sangat bagus. Cuma kakak kadang-kadang tidak mahu fikirkan yang ini adalah hari raya terakhir di sini sebab kalau difikirkan memang sedih,” kata Cik Rohani.
Cik Rohani, seorang ibu tunggal, tinggal di flat itu bersama salah seorang daripada empat anaknya. Dua anaknya sudah berhijrah ke luar negara.
Rumah itulah tempat anggota keluarganya berkunjung dari rantauan sempena Syawal.
Anak Cik Rohani, Rifqi Mohd Kamil, berkata: “Memori yang paling manis adalah tahun lepas, bila kakak saya dari Amerika Syarikat semua turun, berkumpul bersama di sini. Saya rasa itulah yang membuat saya dan keluarga saya gembira.”
Seperti Cik Rohani, Cik Wahidah Said juga akan berpindah dari Dakota Crescent ke sebuah flat sewa yang dibina berhampiran di Cassia Link.
Cik Wahidah, 87 tahun, sudah tinggal di kawasan itu sekitar 40 tahun. Menurut salah seorang anaknya, para penduduk di situ, tidak kira kaum atau agama, sangat rapat dan mengambil berat antara satu sama lain, terutama terhadap mereka yang uzur dan lanjut usia.
“Mengapa nenek suka tinggal di sini? Kawan-kawan datang menjenguk nenek, tanya khabar, bagus,” kata Cik Wahidah.
Semangat kejiranan yang kuat itu membentuk identiti unik estet perumahan di Dakota Crescent.
Kesemua 17 blok flat di Dakota Crescent yang merupakan antara yang tertua di Singapura, akan dirobohkan di bawah pelan pembaharuan estet Mountbatten.
Source: Berita MediaCorp