Mazlan Maskor – Anak Melayu Pertama Terima Biasiswa SIM Buru PhD

Seorang jurulatih sukan profesional, menjadi anak Melayu pertama menerima biasiswa bernilai $100,000 untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat Doktor Falsafah.

Mazlan Maskor, 27 tahun merupakan antara 28 siswazah yang menerima biasiswa di Institut Pengurusan Singapura SIM siang tadi (27 Jul).

Sebagai seorang jurulatih sukan profesional, Mazlan menyaksikan sendiri bagaimana program latihan yang direkanya, membantu seseorang yang mengalami sejenis sindrom otot untuk berdikari dan berdiri atas kaki sendiri.

Ini membuatkan Mazlan lebih berminat untuk mendalami bidang psikologi dan motivasi diri.

Mazlan menjadi penerima Melayu pertama biasiswa SIM-Richard K M Eu tanpa bon bernilai $100,000.

Beliau yang juga pemegang biasiswa SIM Global Education, akan melanjutkan pelajarannya ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama di Universiti Queensland tahun depan.

“Dengan kelulusan PhD, saya akan dapat menambahkan kemahiran saya dalam aktiviti-aktiviti seperti penyelidikan dan dapat menyumbang ilmu pengetahuan yang baru kepada bidang psikologi di antarabangsa,” Mazlan memberitahu BERITAMediacorp.

Muhd Rozaidi Jumadi, 27 tahun, penerima biasiswa Universiti SIM pula, akan menyambung pengajiannya dalam bidang Pengurusan Bangunan dan Projek.

“Paling utama sekali saya ingin menjadi contoh kepada adik-adik dan rakan-rakan saya supaya memiliki cita-cita tinggi dan meninjau segala peluang yang ada untuk mencapai cita-cita kami,” kata Rozaidi.

Secara keseluruhannya, $900,000 dalam bentuk biasiswa diberikan kepada para mahasiswa ini, yakni jumlah tertinggi pernah diberikan dalam masa tujuh tahun.

Mereka merupakan siswazah dari UniSIM dan SIM Global Education yang dipilih daripada 600 permohonan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *