Mufti Gesa Asatizah Tolak Gejala Kafir Mengkafir Dan Pemikiran Agama Bersifat Mutlak

Masyarakat Islam Singapura perlu menolak pemikiran agama yang menyatakan seseorang Muslim tidak boleh hidup dalam negara berbilang kaum, lebih-lebih lagi jika pandangan itu menjurus kepada kekerasan dan pengganasan.

Itulah antara tiga batasan yang ditekankan Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram, dalam menangani kerencaman di kalangan masyarakat Islam Singapura

Beliau berucap di satu acara perjumpaan Hari Raya yang turut dihadiri para asatizah tempatan.

Satu lagi batasan yang disebutkan Dr Fatris ialah penolakan gejala saling mengkafirkan sesama Muslim serta pemikiran agama bersifat mutlak yang menganggap hanya segolongan Muslim sahaja yang berhak menjadi ahli syurga.

Beliau turut menyeru masyarakat Islam tempatan supaya menolak pemikiran agama yang boleh menimbulkan lebih masalah serta yang melarang masyarakat Islam daripada berinteraksi, bermasyarakat dan berhubungan baik dengan golongan dari agama lain.

Tambah beliau, tindakan tegas perlu diambil sekiranya mana-mana pihak cuba melanggar batasan sedemikian.

Dr Fatris juga menyifatkan golongan yang cenderung terhadap impian kumpulan pengganas seperti ISIS, yang mengidamkan sebuah negara yang kononnya bercorak Islamik,sebagai “menangguk di air keruh” dan menanam racun di dalam minda generasi muda Islam yang mahukan huraian segera kepada segala masalah kehidupan.

Beliau menerangkan, itu merupakan pemikiran utopia yang bermasalah dan akan hanya menambahkan kebingungan bahkan bercanggah dengan roh Islam.

Mufti turut mengingatkan para asatizah yang hadir tentang bahayanya amalan “cut and paste” ataupun meniru secara total pengalaman dari luar tanpa saringan dan penelitian yang matang.

Mereka juga diingatkan tentang bahayanya jika berlaku pergeseran di kalangan barisan asatizah yang memainkan peranan utama mencorak kehidupan beragama di Singapura.

Maka itu, Dr Fatris menekankan peri penting mengelakkan perselisihan kerana menurutnya, agama dan tauhid seharusnya menyatukan dan bukan memecah belahkan.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *