Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) akan diluaskan untuk meliputi semua asatizah tempatan.
Ia bertujuan meyakinkan lagi masyarakat bahawa golongan asatizah yang memberikan bimbingan agama, mempunyai kelayakan dan latihan yang sempurna.
Pada masa ini sekitar 80 peratus asatizah menyertai skim ARS.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim mengumumkan perubahan itu di majlis penyampaian sijil bagi satu program baru untuk asatizah.
35 asatizah hari ini (1 Ogos) menjadi kumpulan pertama menerima sijil program Pemikiran Islam Dalam Konteks Kehidupan Masyarakat Pelbagai.
Program baru itu bertujuan melengkapi asatizah dengan pendekatan kontekstual dalam mempraktikkan Islam di negara ini.
Ia disertai asatizah dari universiti-universiti Islam di Timur Tengah dan Asia Tenggara.
Dekan Akademi MUIS Dr Albakri Ahmad berkata, para peserta melihat program tersebut sebagai satu proses mengembangkan kefahaman mereka dengan pengajian-pengajian yang mereka alami.
“Mereka juga dibantu untuk memikirkan bagaimana dengan tradisi yang ada dan juga kandungan-kandungan yang mereka belajar di universiti-universiti luar negara dapat dimanfaatkan dengan menggunakan alat-alat tradisi-tradisi yang digunakan oleh ilmuan lampau untuk membuahkan atau menghasilkan penyelesaian-penyelesaian cabaran masa kini,” tambah beliau lagi.
Salah seorang peserta, Cik Zahratur Rofiqah Mohd Sandisi, mahasiswa Universiti Jordan berkata, program itu berguna dan bermanfaat sekali untuk membantu para peserta menjadi orang yang terbaik.
Iaitu bukan sahaja sebagai asatizah masa hadapan kata beliau, bahkan juga sebagai masyarakat dan rakyat Singapura secara keseluruhannya.
“Pertama sekali sebagai asatizah, orang melihat kepada kita. Jadi apa yang kita katakan, apa yang kita buat, orang akan menjadikannya sebagai contoh,” ujar Cik Zahratur Rofiqah lagi.
Program kerjasama antara Akademi Muis dengan Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP), Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) turut menampilkan ilmuan-ilmuan dari merata dunia.
Ketua SRP Mohd Alami Musa berkata: “Kita dapat lihat bagaimana mereka menunjukkan penghargaan yang sangat mendalam terhadap apa yang telah disampaikan oleh sarjana-sarjana itu.
“Bukan hanya pemahaman kandungan tetapi pemahaman kandungan di dalam konteks dan bagaimana aplikasinya disesuaikan dengan profil dan situasi masyarakat Islam dalam negara Singapura ini.”
Dalam ucapannya, Dr Yaacob Ibrahim berkata program itu perlu bagi membantu asatizah memahami bahawa pengamalan Islam sebahagiannya dibentuk oleh konteks sosio-sejarah.
Oleh itu asatizah boleh memainkan peranan membantu membentuk perspektif masyarakat ke arah pemahaman kehidupan beragama yang lebih progresif dalam dunia moden kini.
Bagi memberi jaminan kepada masyarakat bahawa asatizah yang memberi bimbingan agama mempunyai kelayakan dan latihan yang sempurna, Dr Yaacob mengumumkan bahawa Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) akan diluaskan kepada semua asatizah tempatan.
Muis akan bekerjasama dengan PERGAS serta Lembaga Pengiktirafan Asatizah untuk melaksanakannya.
Skim tersebut memberi pengiktirafan kepada asatizah tempatan yang memenuhi kelayakan minimum untuk mengajar ilmu agama Islam di pelbagai institusi keagamaan awam dan swasta.
Source: Berita MediaCorp