Pakar: ISIS Sasarkan Asia Tenggara Selepas Sokongan Berkurangan Di Timur Tengah

Kumpulan militan ISIS sedang meluaskan pengaruhnya di Asia Tenggara setelah mengalami kekalahan di Iraq dan Syria.

Demikian menurut Encik Ahmad El-Muhammady, penasihat kepada Polis Diraja Malaysia tentang tahahan pengganas.

Pada Mei, para pegawai dari Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat berkata bahawa ISIS kehilangan 45 peratus wilayah yang dikuasainya di Iraq dan 10 peratus kawasan yang dikuasainya di Syria.

“Kawasan yang dikuasai ISIS kian menguncup, dan ini memberikan impak psikologi terhadap mereka. Bahkan di kalangan para warga siber, mereka akan menyoal apa yang sedang berlaku sekarang ini,” kata Encik Ahmad, yang kini seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Bagaimana ISIS terus mendapatkan sokongan? Mereka perlu ke konflik tahap kedua, iaitu negara-negara jiran mereka, atau konflik tahap ketiga, iaitu Asia Tenggara,” ujarnya.

Beliau mengeluarkan komen-komen tersebut dalam satu wawancara bagi rancangan Conversation With (episod ini akan disiarkan esok, 4 Ogos) di sebalik siri serangan ISIS di rantau ini.

Pada Januari lalu, tujuh orang terkorban dalam serangan di Jakarta yang didakwa dilancarkan ISIS.

Pada Jun lalu pula, dua lelaki melontarkan alat letupan ke arah sebuah kelab malam di Puchong, mencederakan lapan orang – menjadikannya serangan pertama yang dilancarkan ISIS di Malaysia.

Bulan lalu, polis memberkas 14 warga Malaysia berhubung apa yang disyaki adalah komplot pengeboman yang dikaitkan dengan ISIS; polis menyatakan pihaknya merampas alat letupan 1kg yang bertujuan digunakan untuk satu serangan terhadap para pegawai kanan polis.

BAHAYA ANGGOTA MILITAN PULANG KE NEGARA ASAL

ISIS juga sudah menjelaskan ia kini menyasarkan Asia Tenggara. Video-videonya baru-baru ini menyeru para pengikutnya supaya fokus terhadap Malaysia dan Filipina.

Kanak-kanak Indonesia pula dipaparkan dalam video-video itu melepaskan tembakan dari senapang dan membakar pasport mereka. ISIS juga melancarkan akhbar bahasa Melayunya yang pertama – Al Fatihin – yang sudah diharamkan Singapura, pada Jun, sejajar dengan bulan suci Ramadan.

Firma risikan keselamatan, The Soufan Group menganggarkan bahawa 700 warga Indonesia dan 100 warga Malaysia sedang bertempur bersama ISIS di Timur Tengah. Sesetengah mereka menubuhkan cabang ISIS, Katibah Nusantara pada 2014.

Namun para anggota militan yang pulang ke negara asal jauh lebih berbahaya berbanding mereka yang ke luar negara untuk menyertai ISIS, kata Encik Ahmad, yang pernah menjadi saksi pakar di mahkamah Malaysia bagi kes-kes melibatkan kumpulan pengganas Al Qaeda di Kepulauan Melayu pada 2015.

“Apabila mereka pulang ke rumah, mereka akan membawa bersama mereka ideologi mereka, kepakaran dan pengalaman bertempur, dan mereka akan mahu berperang di sini,” katanya.

Sekurang-kurangnya 100 warga Indonesia yang bertempur di Iraq dan Syria bersama ISIS sudah pulang ke negara asal, kata ketua risikan Indonesia, Sutisoyo pada November tahun lalu.

CARA PEMIKIRAN PARA TAHANAN

Untuk menghapuskan fahaman radikal yang dipegang para tahanan militan, banyak negara, termasuk Indonesia, Thailand dan Singapura, menjalankan program-program pemulihan. Sebagai penasihat program di Malaysia, Encik Ahmad sudah menemubual lebih 50 tahanan pengganas, sesetengahnya semuda 14 tahun.

“Mereka akan kata, ‘Saya tidak rasa apa yang saya lakukan itu salah.’ Kurang pengetahuan atau tidak tahu menahu tentang Islam menyebabkan mereka tidak mampu membezakan antara yang betul dan salah.

“Sangat penting untuk fokus terhadap mendidik generasi Muslim dengan pemahaman Islam yang betul,” kata Encik Ahmad.

Namun beliau menaruh harapan bahawa ISIS boleh ditewaskan.

“Jika pemerintah, individu-individu dan masyarakat bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan, dan para intelek Muslim boleh mengambil bahagian dalam hal ini, saya percaya kami boleh mengurangkan pengaruh mereka dan kembali bangkit,” katanya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *