Atlit Hijab Pertama Amerika Raih Gangsa Lawan Pedang

RIO DE JANEIRO: Ibtihaj Muhammad menyertai Sukan Olimpik Rio dengan azam untuk menunjukkan kepada dunia bahawa wanita Muslimah Amerika juga mampu bersaing dalam sukan elit.

Atlit lawan pedang berusia 30 tahun dari New Jersey itu – yang juga atlit Olimpik Amerika Syarikat pertama yang berhijab – berjaya meraih pingat gangsa dalam acara ‘sabre’ pasukan wanita pada hari Sabtu (13 Ogos).

Pasukan AS terdiri daripada empat wanita itu – yang juga termasuk juara Olimpik sebanyak dua kali, Dagmara Wozniak, Mariel Zagunis dan Monica Aksamit – menumpaskan Itali 45-30 untuk meraih tempat ketiga.

Pasukan Amerika (dari kiri) Dagmara Wozniak, Ibtihaj Muhammad, Monica Aksamit dan Mariel Zagunis dengan pingat gangsa mereka. (Gambar: AP/Andrew Medichini)

Mereka juga merangkul pingat pertama untuk sukan lawan pedang wanita bagi Amerika di Rio.

“Ia satu perjalanan jauh untuk kami. Sudah enam tahun kami menempuhinya. Saya tidak akan pernah melupakan detik ini.

“Kami bekerja begitu gigih untuknya, dan hakikat bahawa kami mampu bersaing pada tahap ini, di pentas terbesar dunia di Sukan Olimpik, kami benar-benar menghargainya,” kata Ibtihaj.

Ibtihaj, yang mengendalikan kedai pakaian wanitanya sendiri, sejak beberapa tahun kebelakangan ini terlibat dalam satu program yang disokong pemerintah untuk mengupaya kaum Hawa menerusi sukan.

Rakan sepasukannya, Wozniak, yang mewarnakan rambutnya kepada warna ungu, berkata: “Inilah sukan. Tidak kira warna rambut anda, atau agama anda.

“Yang penting, anda ke luar sana dan menjadi atlit yang terbaik mungkin, dan saya rasa kamilah contoh terbaik apa itu Amerika, iaitu gabungan begitu banyak budaya dan kaum berlainan.”

AS kembali bangkit selepas tewas 45-42 di pusingan separuh akhir kepada juara dunia Rusia, yang terus menguasai acara itu dengan meraih pingat emas pertama di Rio, menewaskan Ukraine 45-30 dalam pusingan akhir.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *