3 Anak Melayu Disebut PM Lee Sebagai Contoh Baik Ekonomi Baru

Tiga anak muda Melayu disebut Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebagai contoh baik yang terlibat dalam Ekonomi Baru.

Berucap dalam Rapat Hari Kebangsaan dalam bahasa Melayu hari ini (21 Ogos), Encik Lee menyebut tentang Muhammad Ariff Awari.

Selepas lulus kursus Kejuruteraan Elektrik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Muhammad Ariff meneruskan pengajiannya di Politeknik Nanyang.

Muhammad Ariff Awari. (Gambar: MCI)

Beliau kemudian bertanding dalam pertandingan WorldSkills Singapore, iaitu pertandingan berprestij yang diadakan sekali dalam setiap dua tahun yang menyaksikan para belia mempamerkan kemahiran masing-masing untuk mencari bakat-bakat terbaik di kalangan para belia di Singapura.

Para peserta cemerlang akan dipilih mewakili Singapura di pertandingan WorldSkills Competition.

Muhammad Ariff dan pasukannya mencipta sebuah robot yang boleh menyajikan makanan dan kemudian membawa pinggan mangkuk ke dapur. Lebih membanggakan, ciptaan robot mereka itu memenangi pingat perak.

ABDUL HALIM – DARI MADRASAH IRSYAD, KE PHD, KE EKONOMI BARU

(Gambar: Abdul Halim Ali Akbar)

(Gambar: MCI)

Seorang lagi anak Melayu yang diketengahkan Encik Lee ialah Abdul Halim Ali Akbar, lulusan Madrasah Irsyad Zuhri dan graduan Politeknik Singapura.

Kata Encik Lee, Abdul Halim baru-baru ini menerima Sarjana bidang Aeronautik dari Imperial College London, dan akan memulakan pengajian ijazah kedoktorannya (PhD) tidak lama lagi.

Sementara menunggu memulakan pengajian PhD, Abdul Halim bekerja di A*STAR, dan salah satu projeknya ialah membina dron yang menrima arah penerbangan dari kod QR.

“Inilah komitmen Pemerintah. Kami sediakan permulaan yang baik bagi setiap anak agar lebih ramai boleh berjaya seperti Ariff dan Halim,” ujar Encik Lee.

Namun kata Perdana Menteri, Ekonomi Baru bukan sahaja bagi sektor teknologi, tetapi pekerja di sektor bukan teknologi juga mempunyai banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui SkillsFuture.

NORAISHIKIN ISMAIL – DARI ITE KE SARJANA MUDA

Encik Lee memberi contoh anak Melayu ketiga, Noraishikin Ismail, lulusan NITEC Tinggi ITE dalam bidang perakaunan.

Noraishikin Ismail. (Gambar: MCI)

Pada mulanya, Noraishikin bekerja sebagai koordinator porgram di Persatuan Jagaan Lanjut Singapura (SAC).

Beliau kemudian tertarik dengan kerja sosial dan mengambil Diploma serta Diploma Lanjutan dalam Khidmat Sosial.

Hasilnya, beliau dinaikkan pangkat menjadi pengurus di SACA.

Tahun lalu pula, Noraishikin menang Anugerah Pengajian SkillsFuture dan kini sedang memburu ijazah Sarjana Muda dalam Kerja Sosial.

“Seperti Noraishikin, saya harap lebih ramai pekerja Melayu akan merebut peluang untuk perbaiki taraf hidup anda,” kata Encik Lee.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *