Wanita Muslim Disuruh Tanggalkan Hijab Di Pantai, Didera Secara Perkauman

Seorang ibu diarahkan menanggalkan hijab atau didenda oleh polis semasa beliau sedang beristirehat di tepi pantai di Perancis, sebelum dilaporkan didera secara perkauman oleh orang ramai.

Bekas pramugari berusia 34 tahun itu, yang bernama Siam bersama anak-anaknya dihampiri tiga pegawai di pantai La Bocca di Cannes, diarahkan supaya menanggalkan tudungnya, lapor laman Independent.

Siam berkata polis memaklumkan kepada beliau tentang larangan hijab di pantai-pantai, sambil menambah bahawa para pengunjung mesti memakai “pakaian yang sesuai, hormat sekularisme dan peraturan kebersihan serta keselamatan” dan menegaskan bahawa hijab yang dipakai beliau adalah tanda agama “secara terang-terangan”.

Wanita itu kemudian bersetuju untuk membayar denda €11 (S$17) namun dilaporkan dikelilingi oleh orang ramai yang memekik “Pulang ke rumah” dan “kami berfahaman Katolik”, menyebabkan beliau menangis, menurut saksi.

“Saya bukan berada di sana untuk menggangu sesiapa. Saya terkejut. Bahasa perkauman digunakan secara berleluasa,” Siam memberitahu majalah L’Obs.

“Anak-anak saya menangis, menyaksikan sendiri insiden yang memalukan saya dan keluarga. Saya sendiri tidak boleh berhenti menangis. Mereka memalukan kami.”

Salah seorang wartawan France 4, Mathilde Cusin, memerhatikan insiden tersebut dan berkata orang ramai yang mengelilingi wanita itu seperti “sekumpulan anjing” yang menyerang wanita itu.

“Mereka menyuruh beliau pulang atau menanggalkan hijabnya, mereka begitu berkasar,” menurut Cusin.

“Apa yang mengejutkan saya adalah mereka terdiri daripada orang-orang dalam lingkungan usia 30-an, bukan warga tua.”

Datuk Bandar Cannes David Lisnard menyokong tindakan para pegawai polis, sambil menegaskan bahawa mereka menjalankan tugas mendenda sesiapa yang memakai pakaian yang melambangkan mana-mana agama dan beliau “tiada sebab untuk ragu terhadap tindakan mereka”.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata beliau tidak mahu masyarakat Islam berasa seperti tidak dibenarkan ke pantai sambil menambah bahawa semua orang dari pelbagai agama patut diberi hak, menurut laporan Independent.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *