Enggan Nikah Suami Orang Dilapor Punca Fara Fauzana Batal Kahwin

Tanda tanya di sebalik mengapa personaliti radio Malaysia terkenal, Fara Fauzana, membatalkan perkahwinannya kurang dua minggu sebelum ia dijadualkan berlangsung, nampaknya terjawab sudah.

Fara dikatakan enggan menjadi isteri kedua lelaki tersebut, yang menurut laporan akhbar Harian Metro, merahsiakan daripada Fara bahawa beliau sebenarnya sudah menjadi suami orang.

Akhbar itu, yang memetik sumber yang tidak dinamakan, melaporkan bahawa lelaki berkenaan, Mohamad Hafiz, merupakan ahli jawatankuasa Pemuda UMNO di Lembah Klang.

“SILAP DIA SENDIRI STATUS PERKAHWINAN KANTOI”

Sumber itu memberitahu Harian Metro, semua yang berlaku itu adalah “silap dia (lelaki itu) sendiri” kerana beliau tidak berterus-terang, sehingga status perkahwinannya “kantoi”.

“Silap dia sendiri sebab tak berterus-terang, sepatutnya dia perlu jujur. Akhirnya status perkahwinannya kantoi dengan Fara.

“Dalam perkara ini dia tak boleh sorok. Bukan apa, ia perkara sensitif. Apatah lagi Fara golongan selebriti terkenal. Mahu atau tidak, perkara ini pasti menjadi heboh,” katanya seperti ditukil Harian Metro.

Bagaimanapun, Fara, 36 tahun, mahupun lelaki terbabit belum mengesahkan dakwaan dalam laporan berkenaan kepada mana-mana media.

Bekas penyampai Hot FM itu pada Ahad lalu memaklumkan bahawa pernikahan beliau dengan jejaka tersebut yang sepatutnya berlangsung pada 17 September ini sudah dibatalkan.

BATAL PERKAHWINAN ATAS SEBAB PERIBADI

Menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada BH Online Malaysia, Fara berkata, keputusan membatalkan perkahwinan itu dibuat atas sebab-sebab peribadi yang sukar untuk dikongsi dengan umum.

“Dengan penuh rasa dukacita, saya ingin memaklumkan bahawa hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang pada 17 September ini dibatalkan.

“Jujur saya akui, keputusan untuk membatalkan pernikahan ini satu keputusan yang sukar untuk saya,” katanya.

BH Online Malaysia juga menyatakan menurut Fara, keputusan itu dibuat selepas memikirkan perkara itu sebaik-baiknya, selain membincangkan hal berkenaan bersama kedua-dua orang tuanya.

Fara ketika itu menyifatkan perkara yang berlaku sebagai ketentuan Tuhan dan pasti ada hikmah yang menantinya.

“Ketika ini, saya harus mengakui bahawa saya sedang melalui waktu-waktu yang amat sukar dan memerlukan sedikit ruang untuk menenangkan fikiran. Dan saya mungkin tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan lanjut daripada rakan-rakan media,” katanya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *