Sektor perusahaan merupakan pengeluar terbesar gas rumah hijau di negara ini.
Maka itu, pemerintah berharap, lebih banyak syarikat boleh memainkan peranan untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon.
Hari ini (4 Okt), 17 badan dan individu diberi Anugerah Kerabat Kebangsaan bagi Kecekapan Penggunaan Tenaga, atas pencapaian mereka dalam usaha menjimatkan penggunaan tenaga.
Kini masuk tahun keenam, Anugerah itu dianjurkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Penguasa Pasaran Tenaga.
Usaha Encik Mohamed Shahril Jaafar berjaya membantu syarikat beliau menjimatkan $273,000 setahun.
Namun lebih penting lagi, beliau membantu menjimatkan 800 megawatt-jam tenaga setiap tahun.
Untuk itu dan banyak lagi usaha jimat tenaga lain yang diperjuangkan, Encik Shahril, diberi Anugerah Pengurus Tenaga Cemerlang.
Malah Pengurus di syarikat Panasonic itu disebut Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli sebagai satu inspirasi.
Encik Shahril berkata: “Pertama adalah cabaran teknikal, kedua adalah cabaran dana dan ketiga adalah cabaran kepandaian – kepakaran dari segi menjalankan projek itu.
“Jadi kita menghadiri kursus, menghadiri seminar seperti ini, jadi kita dapat belajar antara satu sama lain, dan juga kolaborasi bersama syarikat untuk mengurangkan defisit ataupun mengurangkan kos projek.”
Selain menjimatkan wang, usaha yang membantu alam sekitar sebegini, diiktiraf dalam majlis anugerah pagi tadi (4 Okt).
Syarikat-syarikat diraikan atas usaha mereka, meskipun ada yang hanya melibatkan langkah-langkah mudah seperti memasang lampu cekap-tenaga, LED.
Dalam tahun 2014 dan 2015, 168 syarikat menghantar pelan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.
Sasaran negara bagi 2014 adalah untuk mencapai kadar peningkatan tenaga tahunan sebanyak 0.76 peratus, namun, hanya 0.42 peratus, yakni sekitar separuh sahaja dicapai.
NEA juga sedang berbincang dengan pihak industri untuk menerapkan amalan-amalan pengurusan tenaga.
Ini termasuk mengadakan taksiran secara tetap untuk mengenal pasti peluang-peluang menjimatkan tenaga.
NEA merancang memperkenalkan piawaian prestasi tenaga minimum bagi peralatan biasa seperti motor, untuk membantu syarikat-syarikat menikmati penjimatan kos dalam jangka panjang.
Source: Berita MediaCorp