16 Lelaki, Termasuk Pelajar Universiti Ditahan Di Malaysia Kerana Terlibat Dengan Kumpulan Pengganas

Seorang pelajar universiti awam dan seorang warga asing adalah antara 16 lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara Malaysia Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 38 tahun ditahan Bahagian Anti-Pengganasan Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah antara 21 September hingga 6 Oktober lalu.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada (lima) peniaga; (empat) juruteknik; (dua) penganggur; seorang guru kaunseling di sekolah kerajaan; seorang kakitangan bank; seorang pengurus eksekutif; seorang pencari barangan antik dan
seorang pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini (9 Okt).

PELAJAR UNIVERSITI RANCANG SUSUP MASUK KE SYRIA

Encik Khalid berkata seorang pelajar berusia 20 tahun yang menuntut di sebuah universiti di Johor, ditahan ketika pulang ke tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 22 September lalu.

Menurutnya suspek berlepas ke Istanbul, Turki pada 7 September lalu dan ditahan pihak berkuasa Turki pada keesokan harinya kerana merancang untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas di negara itu.

“Tangkapan yang dibuat pihak berkuasa Turki itu adalah hasil maklumat Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.

BAI’AH DENGAN MUHAMMAD WANNDY MOHAMED JEDY

Menurut Encik Khalid, seramai 14 lagi suspek warga tempatan yang ditangkap disyaki
merupakan anggota pengganas ISIS daripada kumpulan yang diketuai Muhammad Wanndy Mohamed Jedy.

Kesemua mereka disyaki berbaiā€™ah secara online kepada Muhammad Wanndy dan menyalurkan dana kepadanya, katanya.

Beliau juga menambah, dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki warga asing berumur 32 tahun yang dipercayai berasal dari Utara Afrika kerana disyaki menganggotai Kumpulan Jabhat Al Nusra di Syria.

“Lelaki itu ditangkap di Selangor pada 25 September lalu. Hasil siasatan juga mendapati suspek beberapa kali menyusup masuk ke Malaysia sejak Mei lalu. Semasa di Malaysia, suspek disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen perjalanan bagi kegunaan Kumpulan Jabhat Al Nusra,” katanya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *