Mayat seorang bayi yang baru lahir dijumpai dalam tandas sebuah pesawat selepas pesawat itu mendarat di Indonesia dari Doha, dengan pihak polis sedang menunggu untuk menyoal siasat seorang penumpang wanita, kata seorang pegawai hari ini (11 Okt).
Penemuan mengejutkan itu berlaku lewat Ahad (9 Okt) oleh para pekerja pembersihan semasa mereka berada dalam pesawat Qatar Airways selepas ia tiba di lapangan terbang antarabangsa di Jakarta.
Bayi itu dianggarkan berusia antara lima hingga tujuh bulan, kata Endang Sutrisna, jurucakap polis lapangan terbang kepada AFP.
Kakitangan lapangan terbang itu mendapati bayi itu dibalut dengan kertas tisu di dalam sebuah tandas.
Seorang penumpang wanita – warga Indonesia yang bekerja di luar negara – dibawa untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dipindahkan ke sebuah hospital polis di Jakarta Timur untuk ujian lanjutan.
Para pegawai bagaimanapun tidak menjelaskan hubungan wanita itu dengan bayi berkenaan.
“Jika hasil pemeriksaan doktor menunjukkan wanita itu sihat untuk disoal siasat, wanita itu akan dibawa kepada pihak polis lapangan terbang untuk menjawab beberapa soalan dan perlu bertanggunjawab atas (yang disyaki) tindakannya,” kata Sutrisna.
Masih tidak jelas sama ada wanita itu akan dikenakan dakwaan jenayah, tambah pegawai itu.
Negara-negara Timur Tengah seperti Qatar, Arab Saudi dan Bahrain adalah destinasi utama bagi pembantu rumah Indonesia, terutama sekali wanita yang bekerja sebagai amah dan menghantar wang pulang kepada keluarga mereka.
Source: BeritamediaCorp