Khutbah Solat Jumaat: Masyarakat Islam Digesa Jauhi Tabiat Menjudi

Masyarakat Islam Singapura diberi peringatan supaya menjauhi tabiat suka berjudi dan kesan-kesan buruk daripada tabiat yang merugikan itu. Ia menjejas bukan sahaja individu yang terlibat secara langsung, malah anggota keluarga serta masyarakat secara amnya.

Menerusi khutbah solat Jumaat bertajuk “Istaqamah Bertakwa Kepada Allah” yang disampaikan di masjid-masjid merata Singapura hari ini (14 Okt), masyarakat Islam diingatkan bahawa dengan kemudahan teknologi yang ada sekarang, semakin mudah untuk melakukan pelbagai perkara maksiat tanpa diketahui orang lain.

Satu tinjauan oleh Touch Cyberwellness yang disentuh dalam khutbah solat Jumaat, mendapati bahawa sembilan daripada 10 remaja yang ditinjau menonton atau membaca bahan lucah melalui internet.

Lebih membimbangkan lagi, lebih 70 peratus daripada mereka yang ditinjau pernah menonton kandungan sedemikian melalui telefon bijak mereka.

Selain itu, timbul juga keprihatinan terhadap trend berjudi secara online, di mana masyarakat Islam juga digesa supaya mendidik anak-anak mereka tentang kesan-kesan negatif akibat tabiat yang merugikan itu dan kesannya terhadap kehidupan mereka dan keluarga.

Khutbah solat Jumaat turut menukil dapatan tinjauan itu yang menunjukkan bahawa mereka yang menjadi tahi judi lazimnya bermula dengan berjudi secara sosial.

Maka itu, masyarakat Islam perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti memastikan anggota keluarga mereka termasuk dalam senarai individu yang tidak dibenarkan menyertai sebarang kegiatan perjudian yang berlesen serta memantau lelaman yang dikunjungi, menurut khutbah solat Jumaat hari ini.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *