Bahas: Masyarakat Islam Tidak Proaktif Tentang Radikalisme

Masyarakat Islam di Singapura tidak proaktif dalam menentang radikalisme.

Inilah mauduk peringkat akhir satu pertandingan bahas yang dianjurkan siang tadi (15 Okt).

Pertandingan tahunan itu dianjurkan oleh cabang belia Persatuan Darul Arqam.

Ia bertujuan untuk menyediakan satu wadah bagi perbincangan secara mendalam di kalangan belia.

Para mahasiswa dari Universiti Nasional Singapura (NUS) membentuk pasukan pencadang.

Mereka membentangkan hujah bahawa masyarakat Islam bersikap reaktif dan bukan proaktif dalam menangani radikalisme.

Satu sebab utama adalah, masyarakat tidak melibatkan diri dalam perbincangan secara mendalam tentang isu tersebut.

Oleh itu, mereka tidak mempunyai pemahaman yang baik mengenainya.

Namun pasukan pembangkang dari Politeknik Ngee Ann menyangkal hujah-hujah tersebut.

Menurut mereka, masyarakat Islam sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani radikalisme.

Satu contoh adalah semakan ke atas Skim Pengiktirafan Asatizah, untuk memastikan masyarakat Islam menerima pendidikan Islam yang betul.

Di akhir pertandingan, pasukan NUS muncul sebagai juara.

“Saya rasa kami mungkin akan berbincang tentang topik ini dalam kumpulan masing-masing, di setiap institusi masing-masing tetapi tidak ada satu wadah yang kami boleh gunakan untuk berbincang di antara kumpulan-kumpulan dan institusi masing-masing,” pembahas NUS, Aaeshah Ng memberitahu BERITAMediacorp.

Sejajar dengan itu, tetamu terhormat Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri Amrin Amin berkata meskipun bahas sudah berakhir, para belia patut terus membincangkan tentang isu radikalisme.

“Saya menjemput anak-anak muda kita untuk menyahut cabaran ini dan sama-sama berbual dan memikirkan apakah langkah-langkah yang boleh diambil, apakah kegiatan yang boleh dianjurkan untuk kita sama-sama menangani masalah ini,” kata Encik Amrin.

Beliau juga menekankan bukan setakat perbahasan idea, masyarakat Islam juga katanya perlu menunjukkan apa yang mereka maksudkan melalui perbuatan dan tindakan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *