Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas) menyuarakan keprihatinan ke atas perjudian online yang diluluskan pemerintah baru-baru ini dan kesan-kesan negatif kegiatan tersebut terhadap rakyat Singapura, tidak mengira latar-belakang agama mereka.
Pergas bagaimanapun menyatakan, ia memahami, langkah pemerintah meluluskan perjudian online adalah untuk mengawal kegiatan itu dan juga perjudian secara haram.
Pergas menyuarakan demikian dalam satu kenyataan media hari ini (15 Okt), menyusuli laporan-laporan media pada 30 September 2016, berhubung langkah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) meluluskan permohonan oleh Singapore Pools dan Singapore Turf Club (STC) untuk mengecualikan perjudian online daripada Akta Perjudian Terpencil (RGA).
Laporan-laporan tersebut juga menyatakan bahawa jika dua pengendali perjudian didapati melanggar syarat-syarat tertentu, ia boleh didenda sehingga $1 juta bagi setiap syarat yang tidak dipatuhi.
Pergas menyatakan, sebagai sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab membentuk kepimpinan agama, menjadi tugas Pergas untuk menyediakan panduan dari sudut agama buat masyarakat Islam.
Oleh itu, Pergas bertegas bahawa tidak ada tolak ansur dalam hal-hal berkaitan perjudian dan kegiatan itu jelas mendatangkan kesan-kesan negatif terhadap individu yang terlibat serta masyarakat.
Memandang ke hadapan, Pergas mengingatkan masyarakat Islam supaya menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang kegiatan perjudian, yang dilarang agama Islam.
Mereka juga perlu menahan diri daripada mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan sedemikian kerana ia menjadi lebih mudah setelah perjudian online diluluskan.
Pergas menambah, menerusi semangat menasihati antara satu sama lain untuk melakukan amalan-amalan yang baik serta menyebarkan kebenaran, ia dapat membantu mengingatkan masyarakat supaya menjauhi perjudian dan juga pengaruh-pengaruh negatif lain.
Semalam (14 Okt), menerusi khutbah Jumaat di masjid-masjid Singapura, masyarakat Islam turut diingatkan supaya menjauhi tabiat berjudi serta kesan-kesan buruk yang bukan sahaja menjejas individu yang terlibat secara langsung, malah anggota keluarga mereka.
Source: http://berita.mediacorp.sg