Ketiadaan kedai yang menjual roti dan pastri Eropah yang halal di Singapura mencetuskan ilham bagi Cik Tasneem Noor dan suami beliau untuk mengambil satu langkah berani – iaitu membuka ‘Konditori’.
Konditori, yang bermaksud kedai roti dan pastri dalam bahasa Sweden, baru sahaja dibuka di Bussorah Street, pada Khamis lalu (13 Okt).
(Gambar: Konditori)
Perniagaan baru itu dibuka Cik Tasneem meskipun banyak peniaga lain gulung tikar dalam iklim ekonomi yang lembap sekarang ini.
Cik Tasneem dan suaminya, Joakim Hesham Smidhagen, juga merupakan pemilik restoran Fika Swedish Café & Bistro.
BAGAIMANA KONDITORI TERCETUS?
Cik Tasneem memberitahu BERITAMediacorp, Fika Swedish Café & Bistro sudah mempunyai sebuah kaunter membuat roti dan pastri di salah satu daripada tiga cawangan restorannya.
Ternyata, respons menggalakkan daripada para pelanggan terhadap pencuci mulut yang dijual di restoran itu, mendorong pasangan berkenaan memutuskan bahawa ini adalah masa yang terbaik untuk memulakan perniagaan roti dan pastri yang berasingan.
Black Forest Croissant. (Gambar: Konditori)
“Di Fika, suami saya mahukan pencuci mulut Sweden dalam menu. Kami memastikan bahan-bahan yang digunakan bermutu tinggi. Kami juga begitu teliti dan tidak menggunakan bahan-bahan pengawet atau MSG dan sebagainya.
“Oleh sebab itu perniagaan kami berjalan dengan amat baik dan memandangkan para pelanggan menyukai kek-kek yang kami sediakan, kami memutuskan untuk memulakan perniagaan roti dan pastri,” cerita Cik Tasneem, 35 tahun, kepada BERITAMediacorp lagi.
SEBENARNYA ADA PELUANG WALAU EKONOMI SURAM
Keadaan ekonomi yang suram juga tidak menjadi penghambat kepada pasangan itu memandangkan mereka pernah melakukan perkara yang sama sekitar tujuh tahun yang lalu.
Tasneem Noor bersama suami, Joakim Hesham Smidhagen. (Gambar: Facebook Tasneem Noor Smidhagen)
“Rasa khuatir dan bimbang itu pasti ada. Itu perkara biasa lebih-lebih lagi dengan keadaan ekonomi sekarang. Tetapi kadang-kala dalam ekonomi sedemikian, mungkin ini juga masanya yang terbaik dari segi harga sewa.
“Pada tahun 2009, sewaktu kemelesetan ekonomi, kami memulakan perniagaan dengan Fika. Jadi ia agak serupa. Kami juga menyedari bahawa industri makanan, lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat Melayu/Islam, masih dapat bertahan,” jelas beliau yang mendedahkan modal yang dikeluarkan bagi memulakan Konditori adalah sekitar $200,000.
40 JENIS ROTI & PASTRI. BAGAIMANA SAMBUTANNYA SEJAUH INI?
Belum pun seminggu Konditori dibuka, namun respons yang diterimanya sejauh ini amat memberangsangkan.
Cik Tasneem mendedahkan kepada BERITAMediacorp, “semua jualannya habis” sekitar pukul 4.00 atau 5.00 petang setiap hari. Malah sudah ada pelanggan yang datang berulang kali.
Blackberry Custard Brioche. (Gambar: Konditori)
Jadi, apakah daya tarikan Konditori?
Kedai roti itu menawarkan satu pengalaman yang berbeza di mana para pelanggan dapat menikmati pelbagai jenis roti dan pencuci mulut Eropah, yang dibuat secara tradisional menggunakan bahan-bahan bermutu dan dibakar segar setiap hari dari Isnin hingga Ahad.
“Kami tidak mahu hanya menjual roti dan pencuci mulut Sweden, maka kami mempelbagaikannya. Sekarang ini kami ada roti Semla dari Sweden, Croissant dan roti Perancis, kami juga ada pencuci mulut dari Austria dan Denmark. Akan datang kami akan membuat Apple Strudel dari Jerman,” Cik Tasneem memberitahu BERITAMediacorp.
Raspberry Cream Cheese Danish. (Gambar: Konditori)
Cik Tasneem menambah buat masa ini Konditori menyediakan sekitar 40 jenis roti dan pastri dan yang paling popular sejauh ini adalah pencuci mulut Blueberry Cream Cheese Danish.
CABARAN BUKA NIAGA PASTRI
Bagi beliau, pada awalnya agak sukar dan mencabar memulakan perniagaan yang berbeza memandangkan beliau tiada pengalaman dalam membuat roti dan pastri. Sungguhpun begitu, beliau bertekad untuk membuka minda dan meneruskannya.
“Saya bukanlah seorang yang pakar membuat roti dan pastri, namun dengan adanya perniagaan ini, saya belajar sesuatu yang baru. Menarik juga mempelajari tentang jenis-jenis bahan semula jadi yang digunakan dalam produk kami dan kesungguhan yang diperlukan dalam menghasilkan roti dan pencuci mulut yang lazat.
“Itulah yang paling menyeronokkon apabila menjadi seorang usahawan, mempelajari dan mencuba sesuatu yang baru,” tambah beliau.
(Gambar: Konditori)
Menurut Cik Tasneem, cabaran lain termasuk meletakkan harga bagi roti dan pastri kerana ia tidak sama dan tidak semudah menetapkan harga makanan di restoran.
“Dahulu, saya sering mengadu mengapa pastri yang dijual selalunya mahal, mungkin sehingga $7 bagi sejenis pastri. Sekarang, setelah mengendalikan sendiri Konditori barulah saya tahu mengapa harganya sedemikian.
Rupa-rupanya untuk menghasilkan sesuatu pastri yang bagus, memerlukan tenaga dan masa yang banyak!” seloroh Cik Tasneem.
Source: http://berita.mediacorp.sg