Sebuah pusat khusus bagi para peniaga tempatan untuk menghasilkan dan mengeksport produk halal ke pasaran antarabangsa sedang dalam perancangan.
Ia juga akan menempatkan sebuah pusat kecemerlangan bagi menjamin mutu barangan halal yang dihasilkan di samping meningkatkan daya penghasilan perniagaan.
Rancangan itu dikongsi di majlis perasmian pasaraya My Outlets Global Halal Hub di Chai Chee Road pagi tadi (29 Oktober).
Pusat penghasilan yang dalam perancangan itu bakal mempunyai kilang-kilang makanan halal untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Selain itu, ia akan menyediakan khidmat perkongsian dari segi sumber dan tenaga kerja bagi membantu perniagaan mengurangkan kos dan meningkatkan daya penghasilan.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Zahidi Abdul Rahman berkata: “Kita sedang melakarkan rencana membuat satu program perintis untuk membina sebuah pusat penghasilan makanan dan mengolah makanan halal.
“Kita juga akan mengadakan sebuat pusat kecemerlangan dan mengadakan sistem kawalan yang dapat menentukan proses halal itu adalah jelas dan dipatuhi.”
Untuk menolong para peniaga berkembang, syarikat My Outlets menubuhkan pasaraya My Outlets Global Halal Hub terbaru sebagai satu pusat sehenti untuk semua barangan makanan halal.
Encik Malek Mattar, Ketua Pegawai Eksekutif My Outlets berkata: “Dengan satu hab yang lebih fokus, kita dapat memasarkan barangan ini dengan lebih berkesan lagi. Kesedaran di kalangan pembeli untuk mendapat barang yang betul-betul halal dan tulen memang ada.
“Lantaran itu kita sudah ada anjakan untuk menjadikan produk halal menjadi satu bidang perniagaan yang pasti boleh berkembang.”
Tetamu Terhormat majlis pelancaran itu, Anggota Parlimen GRC Marine Parade, Profesor Madya Dr Fatimah Lateef turut menyeru peniaga Singapura supaya berfikiran luas dan memanfaatkan bantuan pemerintah untuk mengembangkan sayap mereka.
“Inilah minda yang kita ingin pupuk dalam semua peniaga di Singapura. Ini adalah baik dan inilah caranya untuk SME dan perniagaan di Singapura kekal bertahan dan maju walaupun ekonomi lembab pada tahun-tahun yang akan datang ini,” kata Dr Fatimah.
Seluas 10,000 kaki persegi, My Outlets Global Halal Hub menjual lebih 8,000 barangan makanan dari 500 peniaga tempatan dan luar negara.
Syarikat My Outlets juga akan melancarkan wadah edagang tahun ini dan bercadang membuka dua lagi cawangan di utara dan barat Singapura tahun hadapan.
Source: http://berita.mediacorp.sg