Kelongsong Besi Didakwa Peluru, Ibu Marah Polis Cuba Soal Siasat Anak Berusia 7 Tahun

Ibu kepada seorang murid Muslim menuduh kakitangan di sekolah anaknya itu ‘bersikap diskriminasi’ setelah para guru tersalah sangka dan menganggap kelongsong besi yang dibawa masuk ke dalam bilik darjah adalah peluru lalu menelefon polis.

Pelajar berkenaan, yang berusia tujuh tahun, mendakwa kelongsong besi tersebut adalah “peluru” dan memberitahu para guru bahawa abang beliau, yang menyertai kursus kadet tentera, pernah memegang senjata, lapor laman Daily Mail.

Oleh sebab itu, kakitangan di Sekolah Rendah Katolik St Edward, Birmingham memaklumkan kepada Polis West Midlands dan para pegawai dikerahkan ke rumah pelajar tersebut.

Ibu pelajar itu, yang tidak didedahkan namanya tetapi merupakan seorang ahli akademik di Universiti West Midlands berkata, beliau mendapat tahu tentang keadaan tersebut setelah pegawai polis tiba di rumahnya dan mula bertanya soalan tentang anaknya.

RESPONS MUNGKIN BERBEZA “JIKA ANAK BERKULIT PUTIH”

Beliau memberitahu Sunday Times, kehadiran polis di rumahnya “menakutkan” dan beliau percaya respons kakitangan di sekolah itu mungkin berbeza “jika anak beliau berkulit putih”.

Beliau menambah: “Saya tidak rasa sekolah tersebut akan memperbesarkannya jika kami bukan Muslim. Ia seolah-olah kami perlu membuktikan bahawa kami tidak bersalah, berbanding mereka membuktikan yang mereka mempunyai asas yang kukuh untuk menyoal kami atau membuktikan kami bersalah.”

Ibu pelajar itu enggan membenarkan polis menyoal anaknya tetapi kelongsong besi tersebut diperiksa dan tiada tindakan lanjut diambil.

Beliau memberitahu Tell Mama, iaitu sebuah pertubuhan yang menyokong mangsa anti-Muslim, insiden itu “mengarut” dan tindakan mereka seperti tidak menggunakan akal.

Beliau juga menambah: “Sekolah itu dan polis bersikap menindas dan tanpa sebab yang munasabah mencurigai budak berusia tujuh tahun; mereka membuatkan anak saya tertekan dan ini sebenarnya boleh dielakkan.”

SEMUA PELAJAR DILAYAN SAMA RATA

Menyusuli insiden tersebut, Pengetua St Edwards Joanne Kennett memberitahu Sunday Times: “Kami sudahpun meminta maaf kepada ibu kanak-kanak berkenaan kerana menyebabkan mereka sekeluarga berasa tertekan.”

“Kami juga menjelaskan duduk perkara sebenar, kerana pelajar tersebut menyebut tentang senapang, maka kami bertanggungjawab merujuk insiden itu kepada pihak berkuasa,” tambah Cik Kennett.

“Sebagai sebuah sekolah Katolik, semua pelajar dilayan dengan sama rata dan kami berbangga kerana mempunyai para pelajar dan kakitangan dari latar belakang yang pelbagai.”

“Sebelum ini pernah berlaku insiden yang serupa daripada pelajar yang bukan Muslim dan tindakan yang sama diambil,” ujar Cik Kennett.

Polis West Midlands menyatakan, para pegawai dikerahkan ke sekolah tersebut dan ke rumah pelajar lelaki berkenaan setelah menerima aduan “seorang pelajar membawa peluru ke kelas”.

Menurut seorang jurucakap: “Alat itu diperiksa dan didapati bukan peluru dan tiada tindakan lanjut diambil.”

Ketua Detektif Inspektor Nick Dale berkata: “Para pegawai akan sentiasa menjalankan siasatan yang teliti terhadap sebarang aduan tentang pemilikan senjata api dan peluru secara haram di kalangan masyarakat.”

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *