Pemerintah terus memperlekehkan perasaan orang melayu dengan sesuka hati hanya kerana kepimpinan melayu yang merelakan bangsa sendiri diperlakukan sedemikian.
Diam dari golongan pimpinan masyarakat yang terdiri daripada pemilik syarikat, pengerusi masjid, presiden/ketua persatuan, tokoh-tokoh masyarakat, golongan asatizah yg berpengaruh, golongan artis, golongan karyawan yg berpengaruh, mantan-mantan pemimpin dll., memungkinkan segala yang telah berlaku ini, kerana di mata masyarakat majmuk jelas tiada kedengaran langsung apapun suara dari golongan pemimpin melayu yg membantah mahupun menyoalkan tujuan dan kebijaksanaan tindakkan pemerintah tergesa-gesa mengubah dasar mereka dengan sesukanya. Ia memberikan persepsi palsu bahawa orang melayu menyokong perubahan dasar ini. Lebih buruk lagi, orang melayu sendiri merasakan seolah-olah pandangan luas masyarakat melayu sudah tidak penting kerana tiada sesiapa dikalangan pemimpin-pemimpin melayu yg berani menyuarakan keprihatinan mereka.
Yang lebih prinsip lagi ialah dasar baru ini sekaligus menghapuskan adanya kuasa pemeriksa keatas pemerintah yang bebas dan berwibawa dalam menjaga urusan harta simpanan negara demi kepentingan rakyat jelata. Adanya kuasa penghalang adalah genting demi memastikan tertegaknya proses mengawas dan mengawal kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah.
Sebaliknya apa yang telah berlaku ialah kekeliruan memahami matlamat utama adanya jawatan Presiden terlantik dengan alasan-alasan sampingan yang mengeruhkan isu pokok yang seharuskan menjadi tumpuan kita semua.
Memperuntukkan jawatan Presiden terlantik untuk orang melayu demi memastikan adanya bangsa melayu menjawat kursi Presiden adalah pendekatan yang sangat bahaya. Ia kerana setelah adanya seorang berbangsa melayu menjadi Presiden terlantik, ia akan mengkaburi isu perkauman yang masih ada dan terus berleluasa bersumber daripada dasar-dasar lain pemerintah sendiri seperti sikap waspada, curiga dan tidak yakin dengan bangsa melayu secara amnya. Ini masih jelas dalam perkhidmatan negara yang terus mengamalkan dasar-dasar yang mengecualikan dan menindas peluang-peluang anak-anak melayu mendapat jawatan-jawatan yang dianggap bahaya untuk diberikan kepada orang melayu.
Jika benar adanya diskriminasi perkauman dalam masyarakat yang menidakkan kemungkinan orang melayu menjadi Presiden terlantik mahupun apa lagi jawatan tinggi negara, ia harus dikaji sedalamnya dan akar puncanya dimusnahkan. Barulah kita jujur ingin mengatasi masalah perkauman yang masih ada.
Kita sebenarnya diberi peluang kini dengan pengakuan pemerintah sendiri mengiktiraf adanya penindasan perkauman. Ini masanya untuk orang melayu menyuarakan keprihatinan kita sebagai rakyat Singapura atas kewujudan penindasan ini selama 50 tahun sejak merdeka.
Orang melayu bersikap matang dan bersabar sepanjang 50 tahun melihat dan merasai sendiri penindasan yang jelas berlaku tiap kali anak-anak melayu yang menjalani perkhidmatan negara dinafikan peluang yang dinikmati kesuluruhannya oleh bangsa lain. Tidak sepatahpun suara menyoalkan kenapa anak-anak melayu diperlakukan sedemikian, apa yang jelas adalah penindasan perkauman.
Yang bahaya lagi ialah kesan perpanjangan kepada persepsi masyarakat majmuk terhadap bangsa melayu yang telah berakar dan sebati memandang serong bangsa ini dengan waspada dan curiga. Ia menjadikan orang melayu seperti rakyat yang kurang syarat dan sentiasa diperanaktirikan. Akibatnya telah lama dirasakan dalam merata lapisan masyarakat dalam semua aspek dari pendidikan hingga pekerjaan. Inilah kesan buruk yang telah bermaharajalela selama 50 tahun ini.
Sudah tiba masanya dengan isu perkauman jelas terbuka, untuk kita mendesak pemerintah untuk berlaku adil kepada bangsa melayu dan segara menukar dasar-dasar lain yang bersikap perkauman dan menindas peluang orang melayu dalam negara kita yang tercinta ini.
Jika pemimpin-pemimpin melayu masih takut untuk dilihat menentang dasar pemerintah, ingatlah tanggungjawab murni anda untuk membela nasib anak-anak melayu kita yang terus menerus berdepan dengan peluang-peluang terbatas tanpa dibela sesiapa. Kita tidak seharusnya diperlakukan sebagai rakyat tidak setaraf dengan bangsa-bangsa lain di negara kita sendiri.
Source: Damanhuri Abas