Masyarakat Melayu Singapura tiada masalah krisis identiti.
Sikap inklusif, terbuka serta identiti yang berbilang sudah lama ada dalam diri masyarakat Melayu dan ini dibuktikan sejarah.
Lantaran itu, masyarakat Melayu perlu menggali sejarahnya, yang sudah banyak diabaikan.
Demikian antara pandangan para sarjana semasa mengupas tentang apakah Identiti Melayu Kini Dalam Krisis, dalam satu seminar baru-baru ini, anjuran ISEAS – Institut Yusof Ishak.
Ia berdasarkan buku tulisan Profesor Anthony Milner berjudul ‘Kerajaan Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Penjajah, yang dilancarkan dalam sesi ini.
SEJARAH BEGITU DIABAIKAN
Menurut Profesor Milner, mantan Profesor Pelawat Raffles di Jabatan Sejarah NUS dan Penyampai Seminar untuk memahami pendekatan orang dan negara Melayu seperti Malaysia tentang Laut China Selatan atau hubungan etnik di Malaysia, jawapannya ada dalam lipatan sejarah.
“Saya fikir terdapat pengabaian besar terhadap sejarah – bukan kerana sejarah penghurai segalanya, tetapi ia membantu menyediakan rujukan bagi apa yang berlaku di rantau ini.
Bahawa dunia pra penjajahan merupakan peringatan tentang suatu masa di mana bangsa tidak begitu penting,” kata Prof Milner.
Beliau yang banyak menulis tentang kaum Melayu dan sejarah Malaysia, dalam bahasa Inggeris menambah: “Perkembangan tentang perasaan bangsa Melayu yang jelas adalah perkembangan moden,” menurut Profesor Milner.
Para sarjana dalam sesi itu juga berhujah bahawa sejarah juga berguna untuk mengupas identiti Melayu Singapura.
Ini lebih relevan di tengah-tengah perbahasan tentang isu berbilang bangsa dan pengaruh agama Islam.
ORANG MELAYU BERSIKAP TERBUKA, TAAT, INKLUSIF
Penolong Profesor di Jabatan Pengajian Melayu NUS, Dr Sher Banu merupakan antara sarjana yang berpandangan bahawa masyarakat Melayu di Singapura tidak mengalami masalah identiti krisis.
“Sebab, kalau kita tengok bahagian sejarah, masyarakat Melayu selalu sudah berpeluang untuk menyesuaikan diri dan juga mereka selalu bersikap cara terbuka, bersikap secara inklusif. Kalau kita lihat pemerintahan yang lalu, yang berasaskan kepimpinan Islam, kita boleh dapat contoh ciri-ciri pemerintahan yang bagus, yang dapat disesuaikan dalam konteks di Singapura dan juga di Malaysia.
“Jadi kalau mereka ada identiti berbeza, ketaatan berbeza, ia sesuatu yang mereka berupaya menyesuaikan diri,” kata Dr Banu, yang juga menjadi Pengulas Seminar Identiti Krisis Melayu itu.
Lantaran itu juga, penganjur seminar tersebut cuba mengupas mengapa perbincangan mengenai politik Melayu tidak boleh dikupas tanpa mengambil kira aspek budaya dan sejarah Melayu itu sendiri.
Kalangan peserta seminar termasuklah peminat sejarah, antropologi dan budaya, selain pelajar seperti Muhd Suhail Mohd Yazid.
Mengulas perbincangan seminar tersebut, beliau berkata: “Kita tidak boleh lupa bahawa Singapura terletaknya di nusantara, di alam Melayu. Jadi sejarah Melayu juga sejarah Singapura. Pada masa yang sama kita harus kritikal juga adakah cara pemikiran orang Melayu di zaman kerajaan juga relevan pada zaman modern kini?”
Seminar dua jam itu dihadiri sekitar 60 peserta.
Source: http://berita.mediacorp.sg