Mufti Singapura: Zakat Perlu Ditambah Bila Ekonomi Terdesak

DI sebalik kebimbangan ekonomi yang tidak menentu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) komited meneliti dan memantau perkembangan selanjutnya jika terdapat tanda bahawa masyarakat memerlukan sumbangan zakat lebih besar.

Jika timbul keperluan itu, Muis akan membuat penyesuaian bagi golongan berkenaan.

Mufti Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram menekankan bahawa apabila timbul keperluan khusus, contohnya kelembapan ekonomi, Jawatankuasa Zakat Fitrah akan membuat pertimbangan dan menyesuaikan peruntukan setiap asnaf berdasarkan keperluan masyarakat.

“Pada masa begini, peruntukan ‘biasa’ untuk asnaf fakir dan miskin akan ditambah, demi memberi sokongan tambahan kepada mereka yang memerlukan dan menyokong bantuan di peringkat nasional,” ujarnya.

Perkara tersebut pernah dilakukan oleh Muis ketika berlaku kemelesetan ekonomi dari 2008 hingga 2009.

Pada 2009, Muis menambah peruntukan dalam bentuk Dana Ihsan bagi mereka yang terjejas oleh kemelesetan ekonomi pada masa itu.

Selain itu, Mufti menambah bahawa walaupun keadaan ekonomi kini tidak menentu, sumbangan zakat tetap kekal stabil, malah bertambah secara perlahan.

“Apabila masyarakat mempunyai kesungguhan memenuhi rukun Islam dan menghulurkan melalui Muis kerana keyakinan mereka dalam sistem yang kita ada, jumlah zakat semakin meningkat.

“Ini membolehkan kami menyemak tangga pendapatan per kapita (PCI) keluarga untuk melayakkan sesebuah keluarga mendapat zakat,” ujarnya.

Menurut beliau, pada 2014 Muis telah menyemak PCI dan meningkatkannya sebanyak $30 dan ini membolehkan lebih ramai layak menerima bantuan. Tahun lalu pula, Muis berjaya menambah bantuan khusus kepada fakir miskin sebanyak $2 juta secara keseluruhan setelah menyemak PCI.

“Semakin institusi zakat ini diyakini dan masyarakat memberikan sokongan yang meningkat, lebih banyak golongan yang dapat dibantu dan diringankan beban mereka,” katanya.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *