RIA 89.7FM Ingin Jadi Lebih Interaktif Sempena Ulang Tahun Ke-26

Stesen radio tempatan RIA 89.7FM ingin menjadi satu saluran yang lebih interaktif bagi mereka yang berusia dari lingkungan 15 hingga 29 tahun sempena ulang tahun mereka yang ke-26 pada 1 Disember.

Salah satu daripada usaha mereka adalah untuk lebih melawat sekolah-sekolah agar para pelajar dapat mendekati DJ-DJ dan lebih mempelajari tentang balik tabir dunia penyiaran radio.

Demikian menurut Pemangku Pengarah Program RIA 89.7FM, Penyiaran Melayu Mediacorp, Aura Shai, selepas acara sambutan ulang tahun itu hari ini.

Menurut beliau, langkah ini perlu diambil bagi menghadapi cabaran generasi ‘Snapchat’ yang inginkan pencernaan maklumat yang padat.

Malah, sambutan ulang tahun RIA 89.7FM yang ke-26 kali ini juga penuh bermakna bagi stesen radio tersebut.

Aura Shai memberitahu BERITAMediacorp: “DJ kami Fiza O baru melahirkan cahaya matanya yang kedua dan Dzar Ismail juga sedang menunaikan ibadah umrah. Kami rapat seperti sebuah keluarga dan sudah mencapai pelbagai kejayaan bersama-sama.”

“Dan ia juga bermakna kerana kami juga disajikan dengan persembahan-persembahan oleh bakat tempatan yang tentunya dari kumpulan sasaran kami,” tambahnya.

BUKAN SEKADAR STESEN RADIO

Acara tertutup yang diadakan di Kaw Kaw Sg itu turut dimeriahkan oleh 90 hadirin, termasuk mantan DJ-DJ RIA, 18 pendengar bertuah dan barisan bakat muda setempat.

Antara yang membuat persembahan ialah ARUS Band, Didicazli, Haqim Mokhtar, Farhan Shah dan Sunny Jackson.

Sambutan ulang tahun itu juga diwarnai dengan kehadiran penyanyi terkenal Indonesia, Rossa, selama setengah jam, yang turut menyumbangkan sebuah lagu di acara tersebut.

“Kami berharap agar kami dapat sentiasa berhubung dengan para pendengar melalui wadah Facebook atau menerusi panggilan. Anggaplah kami seperti keluarga dan bukan sekadar sebuah stesen radio,” kata Aura Shai kepada BERITAMediacorp.

Sambutan selama dua jam itu juga diakhiri dengan sesi pemotongan kek.

Acara itu turut dirakam di Facebook Live dan dapat didengar secara langsung melalui stesen RIA 89.7 FM.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *