Peniaga Melayu Singapura Buka Niaga ‘Trak Makanan’ Di Indonesia – Chickano!

Hasrat Encik Jeffri Pawel untuk mengendalikan perniagaan di Singapura, putus di tengah jalan setelah kedua-dua cawangan makanan segera Chickano di Bedok North dan Changi Road, terpaksa ditutup dek kos perniagaan dan sewa yang tinggi.

Namun, beliau kini bangkit semula! Chickano hidup semula. Bukan di Singapura, tetapi di Indonesia.

Ini apabila Encik Jeffri membuat keputusan untuk menembusi pasaran Indonesia, yang mempunyai kos operasi perniagaan yang lebih rendah.

Kini, beliau mempunyai tiga trak makanan (foodtruck) dan sebuah cawangan Chickano di Bekasi, sejak pertama kali jenama Chickano dilancarkan Januari tahun ini di sana. Malah, Chickano juga bakal dilancarkan di Bali minggu depan.

TIDAK MAHU ULANGI KESILAPAN LAMA

Encik Jeffri memberitahu BERITAMediacorp beliau membuka langkah ke Indonesia kerana beliau lebih terbiasa dengan pasaran tersebut.

Ini berbekalkan pengalamannya bekerja selama dua tahun dengan sebuah syarikat borong Kanada di sana, pada 1998.

“Saya lebih memahami budaya dan orang-orang di sana berbanding di Malaysia. Tetapi saya tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama untuk menubuhkan sebuah restoran.

“Mungkin lebih baik jika saya bermula secara kecil-kecilan dahulu dengan perbelanjaan (overhead) yang rendah. Oleh itu, trak makanan adalah pilihan yang paling sesuai,” dedah ayah kepada empat orang anak ini.

Meskipun terdapat mekanik-mekanik yang membangunkan trak makanannya, Encik Jeffri turut menyingsing lengan untuk membina trak tersebut di bengkel.

“Saya sendiri ingin menimba pengalaman. Mungkin juga kerana saya lebih memberikan tumpuan kepada perincian dan tahap keselamatan. Saya turut memasang alat pengesan asap, pemadam api dan kamera CCTV dalam trak makanan itu,” kata Encik Jeffri yang kini mempunyai lapan orang kakitangan.

HARGA DIUBAH MENGIKUT KEMAMPUAN DAERAH

Chickano menyediakan hidangan ayam goreng bersama nasi, burger yang beraneka, nuget dan kentang goreng. Menurut Encik Jeffri, ayam goreng dan burger adalah antara hidangan kegemaran para pelanggan.

“Menu Chickano adalah tetap tetapi harganya diubah mengikut keadaan. Jika trak makanan ditempatkan di kawasan bandar, harganya naik sedikit berbanding kawasan kampung, supaya dapat disesuaikan dengan kemampuan daerah,” katanya kepada BERITAMediacorp.

Di daerah bandar, hidangan 2 keping ayam bersama nasi dijual pada harga Rp25,000 (S$3) manakala burger daging pula berharga Rp20,000 (S$2). Encik Jeffri meletakkan harga kurang daripada Rp5,000 (S$0.50) bagi semua hidangan di kawasan kampung.

Beliau menambah: “Memandangkan saya bukan seorang cef, saya mendapatkan semua resipinya dari YouTube. Dan, saya menggunakan bumbu Indonesia untuk menyesuaikan dengan cita rasa pelanggan di sana,” katanya, yang pernah bekerja sebagai seorang konsultan perniagaan dan ejen pemasaran sejak usia 23 tahun.

Malah, Encik Jeffri turut meluangkan masa untuk menyajikan hidangan ayam goreng Chickano sambil mengamalkan pembacaan surah Yassin di rumah anak-anak yatim yang berbeza setiap bulan.

“Saya ingin membahagi-bahagi rezeki dengan mereka kerana saya juga seorang anak yatim. Saya dibesarkan oleh keluarga angkat dan tidak pernah kenal ibu bapa sendiri. Ibu dan bapa angkat juga sudah tiada. Saya hanya buat apa yang termampu,” dedahnya kepada BERITAMediacorp.

Seorang peniaga di rantauan, Encik Jeffri juga terpaksa banyak berkorban masa dengan keluarga tersayang, dan hanya pulang ke pangkuan keluarga di Singapura beberapa hari setiap bulan.

CHICKANO MAHU BANGGAKAN SINGAPURA

Menurut Encik Jeffri, selain melancarkan trak makanan Chickano di Bali minggu depan, beliau turut menyasarkan untuk menembusi pasaran di Bandung dan Batam tahun depan.

Malah, matlamatnya juga adalah untuk menyediakan makanan yang bermutu dan bersih bagi masyarakat di Indonesia.

“Saya ingin menjadi jenama Singapura dengan tahap kebersihan seperti di Singapura yang dibuka di setiap tempat wisata di Indonesia. Saya harap suatu hari nanti, saya dapat banggakan negara.

“Kepada usahawan-usahawan baru, ketahuilah realiti dan mitos dalam menjalani bisnes sendiri dahulu. Bermula di suatu tempat dan teruskan dari situ. Usah takut untuk gagal, terus maju dan sentiasa bersikap terbuka untuk belajar,” katanya kepada BERITAMediacorp.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *