Pegawai Myanmar: Komen PM Najib Di Rapat Rohingya “Tidak Benar”

Kehadiran Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di rapat pro-Rohingya di Kuala Lumpur sudah mencetuskan bantahan di Myanmar.

Ucapan PM Najib di rapat itu tentang perlunya menentang “pembunuhan kaum” Muslim Rohingya di Myanmar, tidak membantu keadaan, kata seorang pegawai Myanmar kepada Mediacorp.

“Apa yang beliau katakan di Malaysia itu tidak benar. Kami sedang cuba menghuraikannya bersama para penyokong antarabangsa. Tapi ini pilihan kami, negara lain tidak boleh membuat keputusan tentang negara kami,” kata Nyan Win, anggota sekretariat Liga Nasional bagi Demokrasi.

“PM NAJIB GUNA ISU ITU UNTUK TAMBAT SOKONGAN”

U Zaw Htay, timbalan ketua pengarah Pejabat Presiden, memberitahu The Myanmar Times bahawa pemerintah Myanmar akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi membantah penyertaan PM Najib dalam bantahan di Kuala Lumpur itu.

Beliau juga memberitahu akhbar itu bahawa tindakan PM Najib itu boleh mencetuskan ekstremisme agama, dan menambah PM Najib menggunakan isu itu untuk menarik sokongan warga Malaysia.

Beliau mengeluarkan komen-komen itu setelah para penduduk Myanmar mengadakan tunjuk perasaan membantah PM Najib setelah beliau menyeru negara-negara asing supaya campur tangan dalam menghentikan “pembunuhan kaum” Muslim Rohingya.

Sekitar 150 orang, dipimpin para sami Buddha dari Persatuan Sami Kebangsaan Myanmar, berhimpun semalam (4 Dis) di Pagoda Sule di bandar Yangon, sambil mengibarkan panji-panji.

Malaysia kian lantang bersuara tentang cara Myanmar menangani keganasan dan dakwaan pencabulan kuasa di wilayah Rakhine, yang memaksa ratusan orang Rohingya melarikan diri merentasi sempadan ke Bangladesh.

PM Najib dalam ucapannya di satu rapat di Kuala Lumpur berkata “Dunia tidak boleh hanya berdiam diri dan menyaksikan pembunuhan kaum berlaku.” Beliau menambah bahawa beliau akan meminta Indonesia turut mengadakan rapat sebagai menunjukkan perpaduan dengan orang Rohingya, dan berkata beliau mahu lebih ramai rakyat Malaysia keluar dan membantah tindakan Myanmar.

Kementerian Ehwal Luar Malaysia menyifatkan keganasan di Myanmar itu sebagai “pembersihan kaum” kelmarin. PM Najib pula meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya campur tangan.

KOFI ANNAN: CARI HURAIAN YANG AMAN

Mantan ketua PBB, Kofi Annan mengunjungi wilayah Rakhine di Myanmar pada Jumaat lalu dan kelmarin sebagai Pengerusi Suruhanjaya Penasihat Wilayah Rakhine.

Saluran televisyen Myanmar menunjukkan Encik Annan bertemu dengan beberapa kumpulan masyarakat, termasuk kumpulan Buddha dan Muslim Rohingya.

Suruhanjaya itu termasuk Muslim Rohingya serta masyarakat Rakhine yang beragama Buddha. Ia fokus terhadap mengelak konflik, bantuan, perdamaian, hak asasi manusia dan pembangunan, menurut pemerintah Myanmar.

Tentera dan pemerintah Myanmar menafikan dakwaan oleh para penduduk dan kumpulan-kumpulan hak asasi bahawa para askarnya merogol wanita Rphingya, membakar rumah-rumah dan membunuh orang awam semasa operasi ketenteraannya.

Di satu sidang media, Encik Annan menggesa semua pihak supaya mencari huraian kepada “isu-isu mereka secara aman.”

PBB menyatakan sekitar 30,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat keganasan itu.

Pemerintah Myanmar tidak mengiktiraf orang Rohingya sebagai rakyatnya. Keganasan yang berlaku di Rakhine baru-baru ini adalah pertumpahan darah kedua paling dahsyat di Myanmar sejak rusuhan kaum pada 2012 meragut ratusan nyawa.

Akibat ditindas dan dibelenggu kemiskinan, ribuan orang Rohingya melarikan diri dari Myanmar menyusuli keganasan antara penganut Buddha dan Islam di sana empat tahun lalu.

Ramai daripada mereka diseludup atau diperdagang ke negara-negara jiran, kebanyakannya ke Thailand dan Malaysia.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *