Meskipun membesar sebagai seorang pelarian, kini Kapten Safia Ferozi adalah juruterbang wanita yang kedua di Afghanistan.
Beliau juga bertanggungjawab memandu pesawat pengangkutan tentera udara. Pada masa yang sama, ia juga menunjukkan bahawa lebih banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai wanita menyertai angkatan tentera negara itu.
Cik Ferozi yang berusia 26 tahun mendirikan rumah tangga bersama seorang juruterbang yang turut bekerja dalam unit sokongan bagi angkatan tentera darat. Pasangan itu adalah sebahagian daripada angkatan tentera udara Afghanistan yang sedang membanteras kumpulan Taliban.
“Apabila saya memakai pakaian seragam tentera, saya berasa amat bangga sebagai seorang wanita,” kata Cik Ferozi sedang beliau bersiap sedia untuk melakukan penerbangan dari pangkalan udara Kabul. Beliau mengemudi pesawat turboprop, C-208 yang digunakan sebagai pesawat pengangkutan.
Hampir 16 tahun selepas tumbangnya rejim militan Taliban, kaum wanita di Afghanistan kini mengorak langkah untuk meningkatkan kehadiran mereka dalam masyarakat termasuk di parlimen, pemerintah dan tentera. Namun, secara purata kaum wanita di negara itu masih berdepan dengan cabaran dan rintangan dalam masyarakat yang rata-rata masih bersikap konservatif dan memegang kepercayaan bahawa kaum wanita harus duduk di rumah dan keganasan terhadap wanita merupakan satu masalah yang membelenggu negara itu.
Setelah hampir 30 tahun, Afghanistan mempunyai juruterbang wanita yang pertama di negara itu pada tahun 2013 iaitu Kapten Niloofar Rahmani.
Cik Ferozi berharap dapat menjadi inspirasi kepada wanita-wanita yang lain.
“Sebagai seorang wanita, anda perlu menghadapi pelbagai cabaran, dan anda harus mengharungi semua cabaran itu,” kata beliau.
Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Afghanistan, Jeneral Mohammad Radmanish, terdapat sekitar 1,800 wanita yang kini berkhidmat dalam angkatan tentera negara itu. Tentera Afghanistan yang menerima sokongan Amerika Syarikat dan NATO ingin menambah jumlah itu kepada 10 peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
Source: Berita MediaCorp