Sebanyak 10,000 bungkusan makanan halal akan diagihkan secara percuma untuk orang ramai tanpa mengira bangsa atau agama, di Masjid Angullia, Ahad ini (11 Dis).
Anjuran ‘Free Food For All’ (FFFA) atau Makanan Percuma Untuk Semua, ia bertujuan menggalak masyarakat memupuk sifat ihsan dan saling bantu-membantu, tidak kira latar belakang.
Sekurang-kurangnya 120 sukarelawan akan menggembleng tenaga untuk membantu dalam persiapan dan pengagihan makanan itu.
Antara sukarelawan bagi projek tersebut termasuklah sepasang remaja bernama Faza Nadhirah dan Hannah Sofeah.
HABISKAN CUTI SEKOLAH DENGAN PENUH MAKNA
Sedang ramai anak muda bersuka ria sewaktu cuti sekolah, pasangan adik-beradik Faza dan Hannah pula berhempas pulas menyediakan 10,000 bungkusan makanan bagi tujuan yang murni.
Apabila diberitahu oleh ibu mereka tentang inisiatif yang dianjurkan ‘Free Food For All’, Faza Nadhirah dan adiknya, Hannah Sofeah, menyuarakan minat untuk terlibat sama.
Kerja-kerja sukarela sebegini sebenarnya tidak asing lagi buat Hannah Sofeah.
Sejak kecil lagi, dia dan kakaknya giat membantu ibu mereka menyampaikan cek kepada anak-anak penagih, di bawah Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF).
Pada awalnya, mereka menjadi sukarelawan dengan membahagi-bahagikan borang penyertaan dan pena. Kemudian setelah meningkat dewasa, mereka menguruskan hal mentadbir dan logistik seperti menyaring borang-borang penyertaan dan menyemak butiran tertulis pada cek. Namun, kerja sukarela kali ini nyata berbeza.
Mereka bakal berhabis keringat dengan mengerahkan tulang empat kerat, demi menghulurkan bungkusan makanan kepada orang ramai daripada pelbagai latar belakang, selaku sukarelawan FFFA.
“Sebelum ini, saya selalu membuat kerja kertas atau menyampaikan wang kepada keluarga-keluarga miskin. Tetapi kali ini, saya dapat memasak, membungkus makanan dan memberikan makanan itu,” kongsi Hannah Sofeah yang berusia 14 tahun.
“Projek ini mengajar saya untuk menjadi lebih bersyukur dengan apa yang saya ada,” tambahnya lagi.
KURANG DAYA PENDENGARAN, TAPI KAYA SEMANGAT MEMBANTU
Bagi kakaknya, Faza Nadhirah pula, pengalaman yang diraih daripada melakukan kerja-kerja kemasyarakatan anjuran kolejnya di New Zealand membawa kesedaran tentang perihal semangat kesukarelawanan di sini.
Mentelah lagi, keadaan beliau yang kurang daya pendengaran sejak usia dua tahun, mendorongnya untuk membawa keceriaan kepada golongan memerlukan.
“Mungkin pada masa depan saya ingin menolong kanak-kanak kurang upaya kerana saya sendiri kurang daya pendengaran,” kata Faza Nadhirah, yang berusia 17 tahun.
Kedua-dua adik-beradik ini akan turun padang menyingsing lengan bagi menyediakan 10,000 bungkusan Nasi Beriyani di bawah inisiatif ‘Free Food For All’ (FFFA).
Orang ramai dijemput untuk menikmati juadah itu bersama-sama di Masjid Angullia pada Ahad ini.
Source: Berita MediaCorp