Semua Masjid Singapura Akan Bantu Kumpul Dana Bagi Penduduk Aceh, Kaum Rohingya

Bermula Isnin (12 Dis), semua 70 masjid di Singapura akan menjalankan usaha mengumpul derma bagi membantu para mangsa gempa Aceh dan juga mangsa di Rakhine.

Inisiatif itu diterajui oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Kotak-kotak derma akan ditempatkan di kesemua 70 masjid di Singapura selama seminggu, dari Isnin depan sehingga 19 Disember 2016.

Pada minggu lalu (7 Dis), daerah Pidie Jaya di Aceh dikejutkan dengan gempa sekuat 6.5 magnitud.

Menurut pihak berkuasa, sehingga pagi ini (10 Dis) angka korban akibat gegaran yang memusnahkan banyak bangunan sudah melonjak melebihi 100 orang.

14 masjid turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat bencana alam itu.

Penduduk Aceh bersolat Jumaat di luar masjid yang sudah roboh akibat gempa. (Gambar: CHAIDEER MAHYUDDIN / AFP)

Di Rakhine pula, keganasan tercetus menyusuli serangan-serangan oleh kumpulan-kumpulan militan ke atas tiga pondok polis sempadan pada 9 Oktober lalu.

Sejak itu, terdapat laporan-laporan tentang pengusiran beramai-ramai penduduk Rohingya dalam satu operasi tentera, dakwaan askar-askar membunuh ramai orang awam dan juga kampung-kampung yang dibakar.

Pelarian Rohingya menunjuk perasaan terhadap penindasan yang berlaku di Rakhine. (Gambar: MANAN VATSYAYANA / AFP)

CARA-CARA UNTUK ANDA MENDERMA

Tertera pada tabung-tabung derma di masjid-masjid adalah: “Usaha Bantuan Kemanusiaan Bagi Aceh dan Wilayah Rakhine” (Humanitarian Relief Effort for Aceh and Rakhine State).

Orang ramai juga boleh menghulurkan derma secara tunai atau cek, dengan cek ditujukan kepada “RLAF” dan dituliskan “Humanitarian Relief Effort for Aceh and Rakhine State” di bahagian belakangnya.

Derma tunai dan cek boleh dikirimkan ke Bangunan Muis di Hab Islam Singapura. Orang ramai juga boleh membuat derma online menerusi laman Muis https://zakat.sg/ePayment/donations.aspx.

Hasil kutipan derma akan dibahagikan sama rata untuk digunakan sebagai bantuan kemanusiaan bagi para mangsa di Aceh dan wilayah Rakhine.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *