Rancangan Buang 3 Angka – ‘000’ – Daripada Mata Wang Rupiah Indonesia

Anda bingung setiap kali perlu membuat bayaran dengan wang rupiah ketika melancong ke Indonesia dek ‘terlalu banyak sifar’?

Misalnya 10,000,000 rupiah, sebenarnya bersamaan dengan S$1,080 sahaja.

Sebagai huraiannya, sistem mata wang Indonesia mungkin akan dijadikan lebih ringkas pada masa depan.

Gabenor bank pusat Indonesia hari ini (19 Dis) menyatakan bank itu sedang menimbangkan untuk membuang tiga sifar daripada wang kertas rupiah untuk meringkaskan sistem mata wang negara itu. Bermakna, 1,000 rupiah akan menjadi 1 sahaja rupiah!

Gabenor Bank Indonesia (BI), Agus Martowardojo berkata beliau sudah meminta Presiden Joko Widodo menghidupkan semula satu rancangan yang sebelum ini diketepikan. Iaitu untuk mendenominasi semula atau menyusun semula mata wang rupiah agar ia “lebih berkesan dan lebih ringkas.”

Satu draf undang-undang yang menyokong langkah itu diserahkan ke parlimen pada 2013 di bawah pemerintah sebelum ini. Namun, draf tersebut diketepikan akibat ketidakstabilan dalam pasaran kewangan Indonesia ketika itu.

BILA DIJANGKA AKAN DILAKSANAKAN?

Jika parlimen meluluskan rang undang-undang tersebut tahun depan, bank pusat Indonesia akan memerlukan lagi dua tahun untuk menyiapkan wang-wang kertas yang baru.

Ia kemudian memerlukan tempoh peralihan lagi tujuh tahun sebelum ia dapat dengan sepenuhnya membuang tiga sifar daripada mata wang itu, katanya.

“Harga barangan dan perkhidmatan juga perlu diringkaskan. Oleh kerana tempoh peralihan itu, di mana orang ramai boleh menggunakan kedua-dua denominasi lama dan baru untuk wang rupiah, kami pasti ia tidak menjejas inflasi,” kata Encik Martowardojo di pelancaran siri reka-reka bentuk baru bagi wang rupiah.

Denominasi rupiah yang terbesar sekarang ini ialah 100,000 dan yang paling kecil adalah 1,000. Reka-reka bentuk baru bank pusat bagi wang kertas akan menggunakan sistem denominasi yang sekarang ini dan akan memaparkan tokoh-tokoh sejarah Indonesia.

Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati berkata sifar-sifar pada mata wang rupiah mencerminkan sejarah inflasi mata wang itu, dan beliau akan membincangkan saranan itu dengan parlimen, dengan rancangan untuk memperkenalkannya tahun depan. Namun katanya, saranan itu tidak disertakan dalam senarai keutamaan perundangan sekarang ini untuk 2017.

“Langkah denominasi semula akan memperkukuhkan jaminan dalam mata wang Indonesia, namun ia tidak akan menjejas apa-apa secara nominal,” katanya kepada para wartawan di satu acara berasingan hari ini.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *