Kegagalan pasukan bola sepak negara untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati Piala AFF Suzuki buat dua edisi berturut-turut menunjukkan bahawa era kegemilangan bola sepak negara sudah berlalu.
Pasukan seperti Indonesia, Myanmar, dan juga Kemboja sudah dapat menyaingi pasukan Singa yang hanya setakat memperolehi satu mata dan satu jaringan gol.
Kapten pasukan negara Shahril Ishak tidak terkejut dengan hakikat itu.
Beliau yang berusia 32 tahun adalah salah seorang pemain paling berjaya dalam pasukan negara.
Ini kerana beliau sudah menjulang Piala AFF sebanyak tiga kali dengan pasukan negara.
Beliau berkata negara-negara yang dahulunya ketinggalan kini dapat memperbaiki prestasi mereka dengan memanfaatkan liga tempatan yang hebat.
Shahril yang pernah bermain di liga Indonesia dan Malaysia berpendapat Singapura seharusnya mengikut jejak yang sama.
Dengan memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha memperbaiki mutu Liga.S, pasukan Singa mungkin dapat kembali ke zaman kegemilangannya.
“Ia penting bagi kami untuk cuba menjadikan Liga.S lebih hebat dan menarik, kerana ia adalah cara terbaik untuk memperbaiki mutu para pemain di sini,” ujar beliau kepada TODAY.
“Jika tidak, dengan bekalan pemain berbakat yang kecil, jurulatih negara akan menghadapi kesulitan untuk membariskan pasukan yang kuat bagi menyertai pertandingan, dan ini akan menjejas prestasi pasukan negara.”
Source: Berita MediaCorp