Cef selebriti setempat Cef Bob kini menjadi antara 10 finalis dalam pencarian bintang personaliti masakan di Asia Tenggara, ‘Eat List Star’.
Beliau berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir daripada lebih 250 penyertaan di rantau ini.
Cef Bob atau nama sebenarnya Shahrizal Salleh turut dipilih sebagai salah seorang finalis selepas mengharungi sesi ‘boot camp’ selama lima hari di Singapura setelah berjaya melangkah sebagai 20 peserta teratas.
Sesi tersebut turut disertai para peserta dari Australia, Philippines, Thailand dan Singapura sendiri.
Di kem tersebut, mereka perlu membuktikan kebolehan mereka memasak serta daya tarikan dan karisma mereka di skrin, untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.
CEF BOB SAMPAI MENANGIS DALAM PERTANDINGAN. KENAPA?
Pencarian bintang masakan Eat List Star anjuran Mediacorp itu juga dibuka kepada cef-cef professional serta tukang masak dari rumah.
(Gambar: Shahrizal Salleh/ Instagram)
Cef Bob memberitahu BERITAMediacorp bahawa pengalaman itu merupakan suatu yang sangat berbeza bagi dirinya, yang sering menjadi juri masakan bagi rancangan-rancangan televisyen.
“Selalunya, saya menjadi juri. Kali ini, saya pula yang menjadi peserta. Memang rasa berdebar-debar. Sekarang, saya mempunyai lebih rasa hormat kepada para peserta yang pernah memasuki peraduan memasak,” ujarnya.
“Dan kini saya rasa bersalah pula bila terfikirkan saat-saat saya memberi komen yang kurang enak kepada mereka. Malah, sewaktu peraduan itu berlangsung, ada juga masa apabila saya sendiri yang menangis. Tapi Alhamdulillah, saya tidak terfikir dapat berjaya hingga ke tahap ini,” kongsinya lagi.
(Gambar: Chef Amri/ Facebook)
TIDAK KISAH BERTANDING WALAU PERTANDINGAN ‘TUNJUKKAN KELEMAHAN SAYA’
Juga merupakan pengalaman kali pertama sebagai seorang peserta bagi Cef Bob, gelaran ‘cef selebriti’ jelas tidak menghalang Cef Bob untuk ikut bertanding.
“Saya tidak kisah walaupun saya tahu peraduan ini akan menunjukkan kelemahan saya. Saya gemar mencabar diri. Adakalanya kita rasa bahawa kitalah yang terbaik, tetapi sebenarnya ada yang lebih baik dari kita,” katanya.
Tambah Cef Bob lagi: “Saya rasa ini juga merupakan peluang untuk saya melangkah ke platform Inggeris. Dan saya mahu mendapat tempat itu dengan kerja keras sendiri.”
Meskipun mengakui terdapat perbezaan bahasa dan budaya selain persaingan hebat di kalangan para peserta, Cef Bob tetap menganggap Eat List Star sebagai platform untuk beliau lebih dikenali dan terus mendapat pendedahan.
(Gambar: Shahrizal Salleh/ Instagram)
CEF BOB: SAYA INGIN MENJADI 3 FINALIS TERATAS
Malah, Cef Bob turut memberitahu BERITAMediacorp bahawa peraduan tersebut juga merupakan suatu pengalaman yang membuka mata.
“Saya lebih mempelajari tentang jenis masakan yang pelbagai oleh para pesaing. Walau demikian, saya percaya tiada pengalaman yang berharga dapat diraih dengan mudah,” katanya.
Lantaran itu, beliau bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam setiap cabaran yang bakal diterima selepas ini.
“Saya ingin menjadi tiga finalis yang teratas. Walaupun saya yakin dapat melakukannya, saya tidak mahu menjadi terlalu konfiden. Bagaimanapun, dalam apa sahaja yang saya lakukan, saya akan melakukan yang terbaik,” jelasnya lagi.
Tiga finalis terbaik juga bakal memenangi kontrak pembangunan media dan bisnes buat jangka panjang bersama Mediacorp serta peluang-peluang untuk memajukan kerjaya masakan mereka.
Saksikan perjuangan Cef Bob dalam Eat List Star di Saluran 5 setiap Isnin, bermula 6 Februari depan.
Source: http://berita.mediacorp.sg