Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) menafikan dakwaan kononnya menipu menjadi buta dengan menjual tisu seperti tersebar dalam laman sosial.
Noraslina Rajoni, 43, menghadapi masalah penglihatan tahap kedua sejak lahir dan mempunyai kad OKU bagi membuktikan keadaannya. Mata kanannya buta sepenuhnya manakala mata kirinya hanya boleh mengesan warna terang.
Beliau mewarisi penyakit Allahyarham ibu bapanya, Rajuni @ Rajimin Moin, 70, dan Asiah Mahmod, 67, yang mempunyai masalah penglihatan.
Noraslina berkata, kecaman terhadapnya timbul selepas kakitangan bank memuat naik gambar di Facebook (FB) yang mendakwa beliau menipu orang ramai dengan menyamar sebagai buta dan menjual tisu.
“Memang saya masukkan wang RM14,000 ke dalam akaun milik saya di sebuah bank di Bandar Baru Uda, di sini, tapi bukan semuanya duit saya. Duit saya cuma RM3,000, selebihnya duit anak kedua saya yang juga menjual tisu serta duit beberapa kawan OKU yang lain.”
“Mereka kerap menumpang menyimpan duit dalam akaun saya dan ini adalah hasil jualan kami selepas beberapa bulan. Kalau nak kata saya menipu buta itu memang fitnah kerana saya ada kad OKU sah.”
“Saya buta dan saya tidak menipu orang ramai dengan meminta sedekah, sebaliknya menjual tisu yang dibeli dengan modal kira-kira RM500,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sejak beberapa tahun lalu, Noraslina membeli tisu secara pukal dan akan menambah stok sebelum kehabisan. Beliau menyimpan hasil jualan dalam akaun berserta wang anak-anaknya dan ada masanya beberapa rakan OKU yang tidak mempunyai akaun bank, turut menumpang hasil jualan mereka.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan (PERKUM) Malaysia, Mohammad Faiz Asangku Abdullah, berkata pihaknya kesal dengan tindakan kakitangan bank berkenaan mengambil gambar dan mendedahkan butiran peribadi mangsa. Katanya, pihaknya akan meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kakitangan bank berkenaan.
Baru-baru ini, gambar seorang wanita mengutip derma di Dataran Bandaraya dekat sini, dan memasukkan sejumlah wang tunai didakwa hasil kutipan meminta sedekah, menjadi viral di laman sosial hingga menimbulkan kemarahan netizen.
Source: bharian