18 Mahasiswa S’pura Di Jordan Bantu Solatkan, Kebumikan Jenazah Allahyarham Abdul Ghafur

Bantuan segera dan semangat gotong royong 18 pelajar universiti Singapura di Jordan, menjadi faktor utama yang memastikan proses pengebumian warga Singapura yang meninggal dunia di Jordan semalam (11 Jan), berjalan dengan lancar.

Allahyarham Abdul Ghafur Mohd Ibrahim, seorang jemaah umrah, meninggal dunia di Jordan sebelum sempat diterbang pulang ke Singapura pada hari yang sama, untuk rawatan lanjut.

Salah seorang pelajar Singapura di Jordan, Uwais al-Qarni Mohamed Fauzi memberitahu BERITAMediacorp hari ini (12 Jan), seramai 11 mahasiswa lelaki dan 7 mahasiswa perempuan – berhimpun di Masjid Ayyub Al Ansari untuk melakukan solat jenazah bagi Allahyarham.

Masjid tersebut terletak di Amman berdekatan universiti mereka, dan solat jenazah itu turut disertai anggota keluarga Allahyarham Abdul Ghafur.

Mereka kemudian beramai-ramai memulakan perjalanan selama sejam ke tanah perkuburan.

“Kami mengebumikan Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Sahab selepas solat Asar, iaitu sekitar pukul 4.30 petang waktu Jordan. Cuma pelajar lelaki sahaja yang menyusul ke kubur,” kata Uwais lagi semasa dihubungi BERITAMediacorp menerusi panggilan jarak jauh.

Upacara pengebumian tersebut juga dihadiri isteri, menantu dan dua daripada tiga orang anak Allahyarham Abdul Ghafur.

 

PELAJAR S’PURA MULA HUBUNGI KELUARGA ALLAHYARHAM SETELAH KETAHUI BERITANYA

Allahyarham Abdul Ghafur, 59 tahun, berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah umrah bersama isterinya pada Disember lalu.

Namun, setelah terjatuh di Makkah, Allahyarham terpaksa dimasukkan ke Hospital Al Khalidi di Jordan bagi mendapatkan rawatan.

Kakinya terpaksa dipotong kerana dijangkiti sejenis bakteria yang menghancurkan tisu-tisu tubuh manusia.

“Setelah mendapat tahu tentang rakyat Singapura yang sakit di Jordan, dua pelajar perempuan menghubungi keluarga Allahyarham dan kami terus berhubungan dengan mereka,” kata Uwais, yang merupakan mahasiswa tahun dua dalam jurusan Usuluddin di Jordan.

“Jadi apabila Allahyarham meninggal dunia, kami dimaklumkan oleh keluarganya sekitar 9.30 pagi waktu Jordan,” tambah beliau lagi.

PARA PELAJAR TURUT HULUR BANTUAN KEWANGAN

Selain membantu dalam proses pengebumian dan menjalankan solat jenzah, para mahasiswa Singapura itu juga berjaya mengumpulkan derma melebihi $500 JD (S$1,000).

Wang tersebut sudahpun diserahkan kepada keluarga Allahyarham semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia pagi tadi, semasa keluarga Allahyarham berlepas pulang ke Singapura.

Semalam, BERITAMediacorp difahamkan, kos rawatan hospital Allahyarham di Jordan, menjangkau sekitar S$150,000. Bagaimanapun pihak hospital bersetuju memberi potongan sehingga hampir separuh.

BERITAMediacorp juga diberitahu, pihak keluarga Allahyarham sudah melunaskan kos rawatan yang dipercayai mencapai lebih $80,000 hasil sumbangan orang ramai dan pihak insurans.

LAPORAN BERKAITAN:

Jemaah umrah S’pura, yang dirawat di Jordan meninggal dunia, sebelum sempat diterbangkan pulangĀ 

 

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *