Lelaki Menyamar Sebagai Pegawai ICA Untuk Curi Rokok Seludup

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama lima minggu kerana menyamar sebagai seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam percubaannya mencuri rokok-rokok seludup daripada pengedar haram.

Jasmin Eyple, 33 tahun, merupakan “individu yang memulakan” rancangan itu, kara Timbalan Pendakwa Raya Li Yihong.

Jasmin menyarankan agar lima daripada rakan lelaki berkenaan pergi ke daerah Sungei Kadut untuk mencuri rokok-rokok seludup daripada para pengedar haram.

Dia menyangka jika mereka menyamar sebagai pegawai ICA, pengedar tersebut akan berlari meninggalkan rokok-rokok seludup itu.

Sejurus selepas pukul 11.00 malam pada 18 Ogos 2016, kesemua lelaki tersebut pergi ke tempat meletak kereta berdekatan Blok 2B Woodlands Road, di mana para pengedar haram tersebut mendirikan sebuah kedai di sebelah pagar.

Salah seorang daripada mereka kemudian menghampiri seorang pengedar dan memberitahu hasratnya untuk membeli empat karton rokok.

Jasmin kemudian mengeluarkan kad EZ-Linknya dan memekik “ICA”, demikian mahkamah diberitahu.

Para pengedar tersebut kemudian mengumpulkan barangan haram mereka, memanjat pagar dan berlari masuk ke kawasan perhutanan, sementara semua enam lelaki berkenaan mengejar mereka.

Bagaimanapun, kesemua enam lelaki berkenaan juga terpaksa melarikan diri mereka, setelah diserang dengan palang besi dan kayu oleh orang-orang yang tidak dikenali yang secara tiba-tiba muncul dari dalam hutan, mahkamah diberitahu.

Atas kesalahan menyamar sebagai seorang pegawai ICA, Jasmin boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda.

Satu lagi tuduhan mencuba mencuri rokok-rokok seludup turut dipertimbangkan.

Empat daripada rakannya yang didakwa bersubahat – Muhammad Assri Zainun, Muhammad Irwanna Saini, Muhammad Sufian Radman dan Muhamad Zul Hijah Saidin – akan dibicarakan di mahkamah pada 10 Februari.

Lelaki keenam dalam kumpulan itu, Mohamed Syafiq Saidin, masih belum didakwa.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *