Kini Lebih Banyak Kafe “Hipster” Halal Di Tampines

Berita baik bagi penduduk Tampines! Anda tidak lagi perlu pergi ‘jauh’ ke Arab Street untuk menjamu selera atau relaks sambil menghirup kopi di kafe-kafe ‘hipster’ ala Eropah yang sedang rancak tumbuh di sana.

Tampines kini nampaknya kian menjadi besi sembrani, dan mendakapi budaya kafe ‘trendy’ seperti itu, yang popular terutamanya di kalangan anak muda dan pelancong sejak beberapa tahun lalu.

Tinjauan BERITAMediacorp mendapati, kini terdapat sekurang-kurangnya empat kafe halal sedemikian di Tampines, daerah timur Singapura yang ramai penduduk Melayu/Islam.

“I AM…” DIBUKA MINGGU KE-3 FEBRUARI

Selain kafe Alt-Yard yang dibuka pada 2015, Brothers in Fine Food serta Commonground yang menawarkan menu ‘brunch’ (dan sedang dalam proses mendapatkan sijil halal), kafe ‘I am…’ – iaitu sebuah kafe ‘hipster’ terkenal ala Belanda di Haji Lane – akan membuka cawangan keduanya di Our Tampines Hub tidak lama lagi.

Kafe ‘I am…’ di Our Tampines Hub yang bakal dibuka. (Gambar: Instagram/@iamathajilane)

Pengarah kafe ‘I am…’, Encik Muhamad Jamuri Busori, memberitahu BERITAMediacorp bahawa cawangan kedua kafe itu akan dibuka pada minggu ketiga bulan ini.

Kafe-kafe sedemikian kini ternyata semakin popular, bukan sahaja di kalangan pelanggan yang inginkan suasana kafe yang unik yang seolah-olah membawa mereka ke kafe-kafe di negara Barat, tetapi juga dek hiasan dalaman dan menunya yang cukup ‘hip’. Ia ibarat halwa mata untuk para pengguna Instagram yang gemar memetik gambar makanan dan ‘berselfie’ di kafe.

Pendeknya, ia disebut sebagai begitu ‘Instagrammable’!

Kafe Brothers in Fine Food. (Gambar: Instagram/@brothersinfinefood)

Kafe I am… di Haji Lane. (Gambar: Instagram/@iamathajilane)

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Muhamad Jamuri berkata pihaknya memilih untuk membuka cawangan kedua di Tampines bagi memaksimumkan peluang-peluang yang ada di sana, memandangkan lebih banyak pusat beli-belah kini dibuka di kawasan itu.

Beliau menambah, pihaknya juga menerima maklum balas daripada para pelanggan yang ingin kafe ‘I am…’ membuka lebih banyak cawangan di kawasan lain di Singapura.

KEISTIMEWAAN TAMPINES SEBAGAI LOKASI?

Selain dua cawangan ‘I am…’ itu, pihaknya kini mempunyai kafe ‘& Why…’ dan kafe ‘all in…’ di kawasan Arab Street.

Kafe ‘I am…’ ditubuhkan pada Ogos 2013 bersama dua rakannya, Jaffar Sariban and Salle Ahmad. Malah ia turut disenaraikan di kalangan 17 restoran dan kafe halal terbaik di Singapura dalam majalah Time Out dalam edisinya pada bulan lalu.

(Gambar: Instagram/@iamathajilane)

“Kami lihat semakin banyak pusat beli-belah kini dibuka di Tampines, jadi ada peluang yang baik di sana untuk mengembangkan perniagaan kami,” kata Encik Muhamad Jamuri ketika dihubungi BERITAMediacorp.

“Kami juga mahu menyasarkan pelanggan di kawasan timur Singapura, terutamanya keluarga, memandangkan ramai penduduk Muslim di sana. Tahun ini ialah tahun keempat kami beroperasi, jadi kami mahu kembangkan lagi jenama kami, sebab ada yang tidak tahu pun tentang kafe ‘I am…’ di Haji Lane.

“Kafe kami juga akan terletak di Home Team NS, jadi di situ juga ada banyak peluang kerana ramainya anggota Home Team NS,” ujarnya lagi.

Selain itu, Encik Muhamad Jamuri juga akur bahawa kafe-kafe halal yang ‘trendy’ dan ‘hipster’ kian bertambah di kawasan Tampines, dan trend itu adalah sebahagian sebab pihaknya memilih kawasan itu untuk cawangan kedua ‘I am…’.

PERBEZAAN “I AM…” HAJI LANE DENGAN TAMPINES?

Beliau berkata ia akan mempunyai konsep yang sama dengan cawangan pertama di Haji Lane, iaitu menu, hiasan dalaman dan suasana keseluruhan yang seolah-olah membawa anda ke Amsterdam, bandar yang terkenal dengan kincir angin dan bangunan-bangunan lama yang indah berlatarbelakangkan terusan air.

Namun sementara kafe ‘I am’ di Haji Lane lebih menyasarkan pelancong dan golongan muda dengan lokasi ‘hipster’nya serta tempat duduk alfresco sesuai untuk para pengunjung relaks sambil memerhatikan orang yang lalu-lalang, cawangan keduanya di Our Tampines Hub lebih menyasarkan keluarga.

(Gambar: Instagram/@iamathajilane)

Bahkan, Encik Muhamad Jamuri menjanjikan rekaan dalaman kafe di Tampines itu akan lebih menarik dan lebih menerapkan keunikan bandar Amsterdam.

”Kafe di Our Tampines Hub akan mempunyai ‘industrial feel’ (suasana industri) dan seolah-olah membawa pelanggan ke lorong-lorong di Amsterdam, lengkap dengan papan-papan tanda jalan raya Amsterdam, lukisan-lukisan muralnya, basikal-basikalnya, pinggan mangkuk yang digunakan serta suratkhabar-suratkhabar Belanda di lantai kafe.

“Ini berbeza daripada kafe di Haji Lane, yang berkonsep terbuka dan mempunyai tempat-tempat duduk di luar dan kawasan Haji Lane itu sendiri mempunyai ‘vibe’ seperti di Amsterdam,” kata Encik Muhamad Jamuri.

MAKANAN BARU DI “I AM…” TAMPINES?

Pemilik “I am…” seterusnya mendedahkan kepada BERITAMediacorp bahawa kafe kedua itu juga akan memperkenalkan beberapa hidangan makanan baru yang lebih mesra keluarga dalam menunya.

Satu lagi perbezaan yang ketara ialah sementara kafe ‘I am…’ di Haji Lane hanya dilengkapi kipas kerana berkonsep terbuka, kafe di Tampines akan berhawa dingin.

“Hawa dinginnya cukup sejuk, jadi ia akan benar-benar membawa pelanggan ke Amsterdam memandangkan di sana sedang musim bunga,” ujarnya lagi sambil berseloroh.

(Gambar: Instagram/@iamathajilane)

CAWANGAN KE-5 BILA PULA?

Ditanya BERITAMediacorp sama ada pihak ‘I am…’ sudah ada rancangan untuk membuka kafe kelima pula di negara ini, Encik Muhamad Jumari berkata: “Tiada rancangan buat masa ini, tetapi kalau ada rezeki, insya Allah.”

Encik Muhamad Jumari mendapat ilham bagi kafe ‘I am…’ setelah menemani isterinya ke Amsterdam untuk urusan perniagaan dan terpegun dengan keindahan bandar itu.

Ia menawarkan menu makanan Barat, termasuk ‘Fries & Mayo’ ala Belanda, ‘The Platters’, ‘Fish & Chips’ dan burger daging panggang, ‘Charcoal-grilled Juicy Beef Burgers’.

Berikut ini senarai 3 lagi kafe halal di Tampines

1) Alt-Yard di Kelab Masyarakat Tampines West

Dibuka pada 2015, ia merupakan usahasama Fluff Bakery dengan sebuah pemilik kafe tempatan, Penny University.

Ia terkenal dengan churros (termasuk churros perisa ondeh-ondeh) serta kek-kek cawan Fluff Bakery.

(Gambar: Instagram/Alt-Yard)

2) Brothers in Fine Food di Kelab Masyarakat Tampines West

Dibuka pada November 2016, ia turut diusahakan oleh pemilik kafe Penny University.

Ia menghidangkan menu sarapan, brunch dan makan malam serta pelbagai kek dan pencuci mulut, antaranya termasuk ‘Butcher’s Daughter’ iaitu filet daging, telur, kentang dan salad, ‘Peanut Butter Jelly Toast’, stik daging dan Greek Yoghurt Panna Cotta.

3) Commonground di Our Tampines Hub

Dibuka pada November 2016, ia menawarkan menu menyeluruh untuk brunch, makan tengah hari, makan malam dan juga untuk teh petang termasuk salad, sandwic, piza, pasta, stik ribeye, daging rusuk kambing panggang, ayam rotisserie, dan pelbagai pencuci mulut.

Menurut laman Facebooknya, ia sedang dalam proses mendapatkan sijil halal tidak lama lagi namun semua produk dan bahan makanannya daripada sumber yang disahkan halal.

(Gambar: Facebook/Commonground)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *