Restoran Ambeng Cafe By Ummi Abdullah dibuka semula setelah ditutup selama sebulan. Ia memulakan operasi hari pertamanya semalam (15 Mac).
Bulan lalu, restoran tersebut menerima notis dari Penguasa Sekitaran Kebangsaan (NEA) kerana gagal memastikan premisnya bebas lipas serta gagal mendaftarkan pembantu kedai. Lesennya digantung dari 13 hingga 26 Februari lalu.
Semasa dihubungi BERITAMediacorp, pemiliknya, Cik Sa’adah atau lebih kenali ramai dengan panggilan Ummi Abdullah berkata, hari pembukaan semula restoran terpaksa ditangguh sehingga 14 Mac kerana beliau mengambil langkah menjalankan kerja-kerja ubah elok ke atas restoran tersebut.
“Kami memang dari dulu ada ura-ura nak buat ubah elok. Masa Ummi dikenakan mata demerit, sebenarnya Ummi ada buat rayuan sebanyak dua kali. Ummi ingatkan diterima, tetapi tidak. Restoran mesti ditutup.
“Jadi Ummi ambil peluang ini untuk mengubah elok restoran. Kalau tidak, bila lagi kan? Itu yang perlu ditutup sehingga sebulan” jelas Cik Sa’adah yang selesa membahasakan dirinya sebagai Ummi.
Ummi Abdullah. (Gambar: Ummi Abdullah Saadah/Facebook)
AMBENG CAFE LANTIK PEGAWAI KHAS BANTU PANTAU KEBERSIHAN
Sempena pembukaan semula restoran Ambeng Cafe by Ummi Abdullah, beberapa langkah sudahpun diambil Ummi bagi memastikan insiden yang mencalarkan reputasinya itu tidak berulang lagi.
Antara perubahan utama yang dibuat adalah dengan mewujudkan satu jawatan baru iaitu Pengurus Kemudahan (Facility Manager) yang akan membantu Ummi memantau dan menjalankan pemeriksaan di semua restoran-restoran beliau pada setiap minggu.
“Setiap minggu Pengurus Kemudahan ini akan membuat pemeriksaan. Maka sekarang, kita kami sudah ada pegawai (pemeriksaan) kami sendiri. Beliau juga akan menjaga peralatan-peralatan di restoran dan memantau kebersihan dan kemudian melaporkannya kepada Ummi.
“Bukan itu saja, mutu dan suhu makanan juga akan dijaganya. Cawangan restoran Ummi sudah banyak. Maka, Ummi rasa sudah tiba masanya Ummi menggajikan seorang pegawai yang boleh membantu menjaga mutu khidmat,” tambah Ummi yang kini memiliki lima perniagaan kesemuanya.
Sambutan baik pada hari pertama restoran Ambeng Cafe dibuka, 15 Mac. (Gambar: Ummi Abdullah Saadah/Facebook)
BUKA 2 CAWANGAN PERNIAGAAN BARU
Di bawah syarikat pengurusan Dapur Ummi Abdullah Catering and Management Pte Ltd, beliau mengendalikan Ambeng Cafe by Ummi Abdullah, Noosh Noodle Bar & Grill, The Tiffin Club, dan Dapur Ummi Abdullah Catering.
Perniagaan Ummi yang terkini ialah Anggerik Bakery. Dua cawangan kedai kek – di East Village dan di Woodlands – akan dibuka di bawah jenama tersebut. Menerusi catatan Ummi di laman Facebook beliau, cawangan di East Village juga dibuka semalam.
Anggerik Bakery perniagaan terbaru Ummi Abdullah. (Gambar: Ummi Abdullah Saadah/Facebook)
Yang pasti, insiden baru-baru ini membuatkan Ummi dan pasukannya menyusun semula perniagaan beliau.
Ummi memberitahu BERITAMediacorp, beliau juga sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dalam syarikat supaya beliau dapat memberikan tumpuan dengan lebih baik.
“Episod ini membuatkan Ummi duduk (berfikir) dan memutuskan untuk menyusun semula perniagaan. Kalau dulu agak berterabur, perlu ke sana dan ke sini. Sekarang, Ummi menugaskan kakitangan Ummi,” jelas Ummi.
IKTIBAR DARIPADA PENGGANTUNGAN
Ternyata, banyak perkara baru yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan Ummi selepas insiden itu.
Menurut Ummi, sebelum insiden lesen restorannya digantung, beliau tidak tahu-menahu tentang jawatan pengurus khas sedemikian.
“Bila insiden ini terjadi, kita ibarat mencari huraian. Episod ini pula banyak mendekatkan pelbagai orang pada Ummi. Yang menariknya, para pemilik perniagaan, pemilik syarikat katering, tak kira bangsa, ramai yang tampil dan memberikan Ummi bantuan. Ada yang kata sudah tiba masanya Ummi gajikan seseorang yang boleh membantu menguruskan hal-hal berkaitan kebersihan dan sebagainya.
“Rupa-rupanya, kebanyakan syarikat-syarikat besar, sudah ada. Ummi rasa ia sesuatu yang baik untuk diadakan di bawah syarikat Ummi,” kata ibu tiga orang anak itu.
Ummi Abdullah. (Gambar: Ummi Abdullah Saadah/Facebook)
Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) di semua restoran beliau kini lebih ditegaskan ke atas setiap kakitangan.
Kini, pemeriksaan harian juga dijalankan ke atas kakitangannya, termasuk apa yang sudah mereka lakukan, dan apa yang perlu mereka laporkan sebelum pulang.
INSIDEN DIGANTUNG LESEN, ‘PALING PAHIT’
Menurut Ummi sejak beliau mengembangkan perniagaannya, ujian demi ujian sering menimpa. Namun Ummi percaya beliau perlu terus kuat menghadapinya.
Insiden baru-baru ini, walaupun disifatkan sebagai paling pahit, tidak mematahkan semangat Ummi untuk terus bangkit dan memperbaiki keadaan – bukan saja untuk dirinya sendiri, malah demi kakitangannya – sekaligus memajukan perniagaan beliau ke peringkat yang lebih tinggi.
“Memang dugaan datang lepas satu satu, Ummi tidak tahu kenapa. Tapi Ummi menerimanya. Tanpa insiden ini, Ummi tak dapat perbetulkan keadaan. Ummi perlu faham bahawa maklum balas adalah sesuatu yang baik. Mungkin ada cara memberi maklum balas itu agak kasar sedikit. Itu yang kadang-kala Ummi tidak dapat terima,” luah wanita yang sudah menjadi tauke makanan sejak enam tahun dahulu.
“Bohonglah kalau Ummi kata ia tidak menjejas Ummi. Saya ni orang biasa, tukang masak. Kalau zaman dulu, kita masak tak sedap, bos panggil masuk bilik dan bercakap. Sekarang tidak, orang cakap secara terang-terangan. Itu yang membuatkan Ummi terkesan.
“Memandangkan pasukan Ummi sudah semakin besar, pekerja sudahpun melebihi 80 orang, Ummi kena kuat demi mereka. Mereka pun ada keluarga,” beliau memberitahu BERITAMediacorp.
Nasi ambeng Ummi Abdullah yang menjadi kegemaran ramai. (Gambar: Ummi Abdullah Saadah/Facebook)
“JANGANLAH PERKARA MEMERANJATKAN TERJADI LAGI”
Memandang ke hadapan, tentunya Ummi mengharapkan yang terbaik buat perniagaan beliau. Beliau juga mengharapkan agar kakitangan serta pelanggan lebih memahami.
“Ummi banyak berdoa supaya janganlah perkara-perkara yang memeranjatkan terjadi lagi,” luah beliau sempat berseloroh.
“Ummi rasa, Ummi seorang yang kuat, tapi sekuat Ummi pun, tanpa disangka-sangka ia tetap menjejas kesihatan Ummi.
“Ada saja perkara yang di luar kawalan Ummi. Kalau enam tahun dulu, awak tempah makanan dengan Ummi, saya yang masak, yang cuci yang hantar. Semuanya sempurna. Sekarang, ia (perniagaan) Ummi melibatkan kakitangan. Maka Ummi harap kakitangan Ummi akan lebih memahami jika Ummi lebih tegas dari sgei kebersihan. Para pelanggan juga Ummi berharap lebih berbelas kasihan,” pinta peniaga berusia 37 tahun itu.
Source: http://berita.mediacorp.sg