Permohonan Maaf Najip Ali Ditolak, Masih Ada Yang Belum Mintak Maaf – Zed Zaidi

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) tidak menerima permohonan maaf yang dibuat oleh stesen televisyen Singapura, Mediacorp Channel 5 dan Najip Ali berhubung kenyataan mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi rancangan hiburan OK Chope! di negara itu.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, keputusan itu diambil memandangkan terdapat ahli panel lain yang masih belum meminta maaf sehingga tempoh yang diberi tamat.

“Kita tahu memang stesen TV itu dan Najip dah memohon maaf. Tapi ada ahli panel lain yang masih belum berbuat demikian lagi.

“Kita mahu semua ahli panel meminta maaf,” katanya kepada Media Hiburan.

Selain Najip, OK Chope! menampilkan Vernetta Lopez sebagai hos rancangan dan ahli panel lain ialah Mike Kasem, Rishi Budhrani dan Sam See.

Pada perkembangan sama, Zed turut mempersoalkan tindakan ahli panel lain yang masih berdiam diri seterusnya beranggapan isu tersebut tidak pernah selesai.

“Semua sedia maklum, kita bagi tempoh sehingga Jumaat (semalam), namun tiada tuntutan maaf daripada ahli panel yang lain. Mereka boleh berhubung dengan saya secara terus melalui telefon atau emel.

“Kalau tiada inisiatif, kita anggap perkara ini tak selesai,” katanya.

Susulan itu, Seniman memfailkan laporan polis terhadap semua selebriti yang terbabit dalam program itu di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

Pada masa sama, katanya, Seniman juga akan menghantar satu memorandum kepada Kerajaan Malaysia.

“Kita sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan dalam membantu kerajaan dari sudut industri seni negara.

“Kita juga mahu beri pengajaran buat artis luar jika mahu masuk negara Malaysia perlu ikut undang-undang dan jangan buat hal,” tegasnya.

Dalam pada itu, Seniman menafikan semua tindakan dibuat berdasarkan kepentingan peribadi.

“Kita tegaskan, ini bukan mencari publisiti murahan tapi ini berlaku dalam bidang seni itu sendiri.

“Oleh itu, kita perlu bertanggungjawab melakukan sesuatu demi melihat industri seni ini dihormati,” katanya. – Sinar Harian

 

Source: http://www.malaysiadreamnews.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *