Pembaca Berita Sampaikan Berita Kematian Suami Di Televisyen

Seorang pembaca berita televisyen mengetahui berita mengenai suaminya maut dalam nahas jalan raya ketika menyampaikan laporan berita tergempar secara langsung.

Supreet Kaur yang merupakan pembaca berita untuk saluran IBC24 di India dilihat tenang semasa seorang wartawan yang berada di tempat kejadian memberikan butiran nahas dan mangsa menerusi panggilan telefon.

Walaupun wartawan itu tidak menyebut nama-nama mangsa, tetapi memaklumkan bahawa tiga daripada lima orang di dalam kereta yang terbabit dalam nahas itu terbunuh, menurut mStar Online yang menukil laporan Mirror.

Butiran itu sudah cukup bagi Kaur, 28 tahun, menyedari bahawa suaminya, Harsad Kawade merupakan salah seorang daripada tiga yang maut.

Ketika kejadian, suaminya menaiki kereta yang sama, Renault Duster, di jalan yang sama pada masa yang sama bersama empat lagi rakan.

Kaur bagaimanapun terus membaca berita-berita lain selama 10 minit selepas laporan mengenai nahas jalan raya membabitkan suaminya disampaikan.

Memetik laporan Hindustan Times, Kaur bagaimanapun menitiskan air mata sebaik sahaja program berita pagi Sabtu berakhir.

Seorang editor kanan memberitahu, kakitangannya menyedari mengenai kematian suaminya semasa membaca berita berkenaan.

Editor itu berkata: “Tetapi kami tidak memberitahu beliau. Kami tak sanggup.”

“Beliau bagaimanapun dapat merasakan bahawa kenderaan yang terbabit dalam nahas itu adalah kenderaan yang dinaiki suaminya.”

Seorang rakan setugas berkata: “Beliau seorang wanita yang sangat tabah. Kami berbangga dengan beliau sebagai pembaca berita, tetapi apa yang telah berlaku hari ini benar-benar mengejutkan kami.”

Kaur bertugas sebagai pembaca berita untuk IBC24 selama sembilan tahun. Beliau dan suaminya sudah setahun berkahwin.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *