Pasukan Selangor Tempah 115 Bas Bawa Penyokong Ke Singapura Pada 6 Mei Ini

Pasukan bola sepak Selangor sudah menempah 115 buah bas untuk membawa para penyokongnya ke Singapura pada 6 Mei ini.

Ini bagi menyaksikan edisi ke-16 pertarungan Piala Sultan Selangor 2017, yang akan berlangsung di Stadium Negara Singapura pada tarikh tersebut.

Demikian menurut Pengerusi Penganjur Piala Sultan Selangor (TSSC), Tan Sri Abd Karim Munisar, dalam laporan Berita Harian Malaysia minggu lalu (8 Apr).

Malah, BHM Online melaporkan bahawa lebih 800 penyokong Selangor hadir ke kaunter Jabatan Imigresen Selangor di pusat beli belah SACC, pada Sabtu lalu untuk membuat pasport ke Singapura.

Tan Sri Abd Karim menambah, berkata kaunter itu dibuka khusus kepada mereka sempena saingan Piala Sultan Selangor edisi ke-16 di Stadium Nasional Singapura, pada 6 Mei ini, menurut laporan BHM.

Presiden Kelab Penyokong Red Giant Selangor Khairul Baharudin pula ditukil sebagai berkata, ia berterima kasih atas pembukaan kaunter pendaftaran pasport.

“Ini adalah usaha yang amat baik kerana kebanyakan daripada kami tidak mempunyai pasport, tetapi pada masa sama kami ingin memberikan sokongan,” katanya dalam laporan BHM Online itu.

(Gambar-gambar: Facebook/The Sultan of Selangor’s Cup)

3 PERTARUNGAN ANTARA S’PURA-SELANGOR

Tiga pertarungan akan berlangsung antara Selangor dengan Singapura pada hari berkenaan. Buat pertama kalinya, perlawanan antara Sekolah Sukan Singapura dengan Sekolah-sekolah Gabungan Selangor akan berlangsung, iaitu pada jam 4:45 petang.

Veteran Singapura pula akan bertarung dengan Veteran Selangor pada jam 6.30 petang. Manakala pertarungan utama iaitu antara Pilihan Singapura dengan Pilihan Selangor akan berlangsung pada jam 8:00 malam.

Dengan begitu ramai penyokong Selangor yang akan berangkat ke Singapura, Tan Sri Abdul Karim dilaporkan berkata, para penyokong Selangor akan bergerak secara berperingkat-peringkat bermula jam 9.00 malam, pada 5 Mei nanti.

“Setiap bas akan turut disertai oleh seorang pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan dan seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan tiada kekecohan berlaku sepanjang perjalanan ke Singapura,” kata Tan Sri Abdul Karim lagi.

Rilek1Corner

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *